Peranti kelas andalan, Samsung Galaxy S22 Ultra dilancarkan pada beberapa bulan lepas dan sememangnya antara yang dinanti-nanti pengguna seluruh dunia. Benci atau suka, siri Galaxy S ialah nama yang sangat besar dalam dunia Android.
Ia salah satu figura yang menaikkan nama Android sehingga tahap yang kita kenali hari ini. Terdahulu, kami telah kongsikan berkenaan aspek lain dan ulasan keseluruhannya. Kali ini, kami sentuh pula perihal prestasinya,
Cip Paling Berkuasa, Tiada Masalah
Yang menjadi unik barisan yang dibawa ke Malaysia kali ini ialah ia dikuasakan cip Snapdragon 8 Gen 1, bukan Exynos seperti sebelum ini. Terus ke poin utama, penggunaan biasa seperti media sosial, multi-screen dan lain-lain langsung tidak bermasalah dan sangat lancar.
Ya, itulah yang sepatutnya setara dengan kelasnya. Untuk suhu dihasilkan pula, kami cuba menggunakan aplikasi peta semasa memandu dan dapati ia tidak terlalu panas dan stabil saja.
Skrin, Audio Dan Ciri Unik Peranti Samsung
Seperti telefon lain juga, anda mempunyai pilihan sama ada untuk nyahkunci melalui imbasan wajah atau cap jari. Kedua-duanya dengan mudah dan pantas nyahkunci telefon namun kadang kala ada juga waktu-waktu cap jari tidak dapat dikesan.
Dalam gelap sekalipun, nyahkunci melalui imbasan wajah terus berjalan tanpa masalah.
Skrin dengan audio pembesar suara juga berikan kepuasan pada pengalaman kami. Ini merupakan piawaian biasa memandangkan skrin Samsung adalah antara yang terbaik di pasaran. Kualiti audio dari speaker stereo juga agak baik tanpa isu yang serius.
Bercakap tentang pembesar suara, pengalaman menggunakan ASUS ROG Phone 5 satu hal yang tidak dilupakan kerana ia ditempatkan 3 teratas bagi kami. Galaxy S22 Ultra ini bagaimanapun tidak mampu menewaskan ROG Phone 5 dari segi pembesar suara.
Saudara Faiz selaku pengguna meluahkan rasa kagumnya pertama kali berjaya menggunakan Samsung Pay. Seperti pengguna lain, beliau juga mengatakan ciri ini sungguh memudahkan transaksi harian di mana pembayaran daripada kad debit/kredit dapat dilakukan melalui telefon saja.
Masalah ‘Throttling’ Yang Bikin Jiwa Gamer Memberontak
Namun, setiap pujian itu harus kembali pada Pencipta. Sekarang kita dedahkan pula pekung di dadanya. Apa yang kami alami selari dengan laporan antarabangsa iaitu isu throttling pada sesetengah aplikasi game.
Selepas isi ini telah menbuatkan Samsung mengeluarkan kemas kini baharu yang dikatakan tidak lagi mengehadkan lagi prestasi telefon, namun rasa kecewa saudara Faiz masih lagi membelenggu jiwanya sebagai pemain tegar Genshin Impact.
Ternyata, prestasi S22 Ultra semasa bermain Genshin Impact selepas kemas kini juga masih sama, terasa seperti ada yang disekat. Ia umpama seorang anak muda yang berbakat berpotensi jadi jutawan tapi dilunturkan semangatn oleh rakan dan keluarga.
Perkara ini terlalu jelas kerana walaupun belum masuk bermain lagi, hanya ‘pusing-pusing’ untuk mencuba grafik dipaparkan. Cuba menyelesaikannya dengan menetapkan pada tetapan grafik terendah, namun usaha ini masih tidak berjaya memuaskan nafsu kami. Jelas Faiz, perkara ini langsung memotong mood beliau untuk bermain game kegemaran.
“Bab ni, POCO F3 aku lagi power,” terang Faiz sambil meletakkan telefonnya yang retak panel belakang di atas meja.
Yang menambah kehairanan, permainan lain seperti Mobile Legends, Apex Legends tidak menghadapi masalah ini. Bukan sahaja dapat berikan prestasi yang baik dengan tetapan grafik tertinggi malah peranti juga tidak mengalami masalah kepanasan.
Pada Apex Legends, peranti ini menyokong tetapan paling tinggi iaitu dengan kualiti imej Original pada kadar bingkai (frame rate) Balanced atau kualiti imej ‘Extreme HD’ pada frame rate ‘Extreme High’. Walaupun pada tetapan ini, Samsung masih mampu mengawal suhu peranti pada tahap optimum.
Cakap pasal game, kalau bab fizikal pula, tubuhnya memberikan rasa yang selesa ketika digenggam kerana bahagian atas dan bawahnya yang rata.
Bateri Yang Dalam Biasa, Bukan Luar
Soal bateri pula bagaimana?
Antara aplikasi yang membuatkan telefon cepat panas kameranya. Tapi, bukan itu saja, kalau telefon sudah mula panas, ia adalah petanda baterinya juga sedang dikerah kuat. Kami percaya hal ini disebabkan resolusi dan kualiti yang perlu dihasilkan oleh telefon ini sendiri.
Bahkan, aplikasi kameranya pernah membuatkan S22 Ultra ini jadi lebih panas daripada menggunakan aplikasi nagivasi peta. Peranti masih boleh dipegang namun tipulah kalau kami berasa okey saja dengan suhu sepanas itu.
Dari segi penggunaan bateri ketika bermain game, ia tidaklah memberikan ketahanan yang lama. Ia sama saja seperti kebanyakan peranti lain.
Tapi untuk penggunaan harian, memang tiada masalah untuk bertahan sehari.
Kesimpulan
Bak kata Hujan, ‘akanku cari konklusi’. Kami juga tidak dapat lari daripada melakukan seperti dinyanyikan Noh dan kami dapati bahawa peranti ini tidak dapat dinafikan memberikan prestasi yang sangat bagus dalam kebanyak aspek.
Walaupun ada juga kelemahannya seperti masalah throttling dan sebagainya tetapi ini semua pastinya akan cuba diselesaikan oleh Samsung kelak, jika bukan sekarang. Jika anda sedia menggunakan peranti Android dan mahukan peranti yang tidak mendetikkan sesalan, kami dapat cadangkan Samsung Galaxy S22 Ultra ini.
Baca juga: