Huawei Mate 20 X Tiba Ke Malaysia Pada Ahad, 11 November

Huawei Malaysia baru-baru ini telah mengesahkan bahawa peranti menfokuskan permainan mudah alih mereka, Mate 20 X akan hadir ke pasaran tempatan pada hari Ahad ini, 11 November.

Huawei Mate 20 X merupakan salah satu daripada tiga model pertama yang menggunakan cip pemprosesan terkini, HiSilicon Kirin 980. Ia didakwa memberikan prestasi AI yang jauh lebih baik berbanding model-model terdahulu.

Malah, ia juga adalah peranti yang menjurus kepada produktiviti. Buktinya, ia hadir dengan paparan skrin sebesar 7.2-inci selain penggunaan stylus M-Pen.

 



Antara spesifikasi lain yang ada pada peranti ini ialah ia dijalankan dengan sistem Android 9 Pie terbaru, mempunyai RAM sebesar 6GB, simpanan dalaman 128GB dan turut menyokong kad memori bersaiz nano. Namun, kad tersebut perlu didapatkan secara berasingan dengan harga RM298 bagi 128GB.

Huawei Mate 20 X akan mula dijual di gedung atas talian Huawei dan kedai-kedai fizikal Huawei di seluruh negara dengan harga RM 3,199. Warna yang ditawarkan pula ialah Midnight Blue dan Phantom Silver.