Huawei Lancar Model Kelas Permulaan Y5p Dan Y6p - Cip Helio P22 Dengan MicroUSB

Hari ini Huawei melancarkan 2 buah model peranti kelas permulaan Huawei Y5p dan Y6p di Romania sebagai penambahan terbaharu dalam produk mereka.

Huawei Y5p


Huawei Y5p merupakan penawaran paling bajet yang dilancarkan. Ia hadir dengan paparan TFT LCD HD+ dengan panel bersaiz 5.45 inci. Rekaannya juga adalah klasik bersama bezel pada bahagian atas dan bawah.

Huawei unveils Y6P and Y5P entry-level phones alongside MatePad T8 tablet

Belakang peranti kelihatan memuatkan lebih dari satu lensa namun hakikatnya hanya satu sahaja lensa iaitu 8MP. Swafoto pula adalah sensor bersaiz 5MP.

Peranti ini dijana oleh cip MediaTek Helio P22 dan saiz RAM yang agak kecil 2GB sahaja. Storan dalaman bersaiz 32GB dan boleh ditambah melalui kad microSD.

Peranti ini juga mempunyai saiz bateri yang agak kecil dengan 3,020mAh dan masih lagi menggunakan kabel microUSB. Sudah tentu tiada aplikasi dan servis Google sebagai fitrah sebuah peranti Huawei. Peranti ini menjalankan EMUI 10.1 yang berasaskan Android 10.

Huawei Y5p hadir dalam 3 pilihan warna hitam, biru, dan hijau serta dijual pada harga 599 RON (~RM580).

Huawei Y6p


Huawei Y6p pula merupakan penawaran lebih berkuasa dengan panel IPS LCD HD+ dalam saiz 6.3 inci. Rekaan juga lebih moden dengan takuk kecil memuatkan 8MP lensa swafoto.

Huawei unveils Y6P and Y5P entry-level phones alongside MatePad T8 tablet

Kamera belakang juga mendapat tambahan lensa berbanding Y5p. Ia mempunyai 13MP utama, 5MP sudut lebar, dan 2MP depth. Perkara lain yang berbeza adalah terdapat juga pengimbas cap jari pada bahagian belakang peranti itu.

Cip yang digunakan adalah sama sahaja MediaTek Helio P22. Namun RAM adalah sedikit besar 3GB yang dipadankan dengan storan dalaman 64GB. Peranti ini juga turut menyokong kad microSD untuk penambahan storan.

Menariknya, bateri berkapasiti besar 5,000mAh namun tidak semuanya indah kerana peranti turut mempunyai lubang pengecasan micro USB.

Huawei Y6p dijual pada harga 799 RON (~RM 773) dalam 3 pilihan warna iaitu hitam, hijau, dan ungu.

Kedua-dua peranti ini walau bagaimanapun belum lagi diketahui pelancarannya untuk pasaran tempatan.