Huawei Batalkan Pelancaran Mate 30 Pro Di Taiwan

Siri Huawei Mate 30 tidak akan dijual di Taiwan.

Kita sedia maklum Huawei menerima tekanan perdagangan, dikenakan Amerika Syarikat sejak Mei lepas yang mengganggu penawaran peranti secara global. Pada pertengahan November lalu, Taiwan pula mengambil langkah menyekat penjualan tiga model pengeluar dari China itu. Hal ini adalah berikutan peranti memaparkan perkataan "Taiwan, China" pada tetapan zon masa dan hubungan. Kini menerima nasib sama adalah siri terbaru Mate 30 Pro yang sepatutnya dilancarkan pada 23 November.

Melalui perkongsian Facebook Huawei Taiwan, pelancaran siri Mate 30 Pro dan Huawei Watch GT 2 dibatalkan kerana isu bekalan dan tidak menerangkan lebih lanjut mengenainya. Dinyatakan bayaran semula akan dibuat untuk pembeli yang membuat pra-tempah Mate 30 tersebut.

Sementara itu, sekatan yang lebih awal dibuat keatas tiga model akan diteruskan selagimana pihak Huawei tidak mengeluarkan kemaskini bagi mengubah perkataan tersebut.

Ketegangan politik antara dua negara sudah berlanjutan sekian lama berikutan isu tuntutan Beijing bahawa Taiwan merupakan salah satu wilayah mereka. Menggarap laporan Nikkei Asian Review, di China mana-mana perniagaan yang menunjukkan Taiwan bebas daripada negara itu akan menimbulkan kemarahan pengguna. Berdasarkan pegangan pasaran Huawei di Taiwan, pengeluar itu hanya memiliki 4% berbanding pesaing seperti Apple yang memegang 40% pasaran.

Sumber: Nikkei Asia Review