Walaupun acara pameran mudah alih terkemuka MWC 2020 sedia dibatalkan, Huawei mungkin masih meneruskan acara yang dijadualkan berlangsung pada 23 Februari ini. Menerusi perkongsian di laman Weibo, poster bagi acara tersebut telah dimuat naik pada akaun rasmi Huawei.
Berdasarkan poster tersebut, kita boleh menjangkakan yang mana gergasi teknologi dari China itu akan memperkenalkan sekurang-kurangnya 8 produk. Imej yang cuba digambarkan pada poster seperti komputer riba, tablet, pembesar suara, fon telinga TWS, set kepala VR, produk berkait dengan kenderaan, TV serta jam tangan pintar.
Sedikit ke bawah pula dipaparkan “1+8+N” yang setiap satunya membawa maksud tersendiri. Ia merupakan strategi Huawei dalam penawaran produk di zaman 5G ini. “1” bermaksud satu peranti yang mempunyai kawalan sepenuhnya seperti telefon pintar. Angka “8” pula merupakan sejumlah peranti yang boleh dikawal seperti jam tangan pintar, tablet dan lain-lain lagi. “N” pula merujuk kepada rangkaian serta perkakasan iOT mereka.
Imej besar pula seakan-akan mahu menunjukkan peranti boleh lipat. Berkemungkinan, kita akan melihat pengganti kepada Huawei Mate X, telefon pintar lipat Huawei yang dilancarkan tahun lalu. Model itu dijangka mendapat penambahbaikan pada pemproses iaitu Kirin 990 5G.
Namun begitu, imej ini dikongsikan beberapa jam sebelum pengumuman pembatalan MWC 2020 dibuat. Adakah mereka akan kekal melangsungkan acara seperti yang telah dijadualkan atau sebaliknya? Sama-sama kita nantikan.
Sumber: Weibo via GizmoChina