HONOR Band 6 Kini Lebih Elegan Dengan Skrin Penuh AMOLED 1.47 Inci

Antara jenama yang giat menghasilkan penjejak kesihatan dengan harga berpatutan adalah HONOR melalui HONOR Band. Kini, model terbaharu telah diperkenalkan dengan rekaan lebih elegan melalui HONOR Band 6.

HONOR Band 6 kini sudah menggunakan skrin penuh dengan bingkai yang nipis di sekeliling skrin. Paparannya adalah dari 1.47 inci AMOLED berwarna dengan kaca sedikit lengkung 2.5D.



Jika dilihat sekali imbas, ia kelihatan seperti Huawei Watch ES ataupun Huawei Watch Fit yang pernah dilancarkan sebelum ini. Cuma HONOR band mempunyai rekaan lebih kecil.

Antara teknologi terbaharu yang diperkenalkan pada HONOR Band 6 adalah TruSeen 4.0 iaitu generasi keempat teknologi pemantauan kadar degupan jantung. Selain itu adalah TruSleep 2.0 untuk pemantauan tidur dan juga Trurelax untuk tekanan.



Bersama-sama dengannya, 10 mod sukan dimuatkan yang juga mengingatkan pengguna secara automatik untuk merekod sesi senaman.



HONOR Band 6 juga mempunyai pengecasan pantas. Hanya dengan mengecas selama 5 minit, pengguna boleh menggunakannya selama 2 hari. Ketahanan penuh pula adalah sehingga 14 hari manakala kaedah pengecasan adalah dari magnetik di bawahnya.



Terdapat dua versi HONOR Band 6 yang dijual iaitu versi biasa dan juga versi NFC. Harga jualan adalah dari 249 yuan (~RM154) di China. Buat masa ini belum diketahui jualannya untuk pasaran Malaysia.

Sumber:

 

Berkaitan