Honor 10 Lite Kini Rasmi, Harga Bermula RM749 Untuk Pasaran Malaysia

Honor Malaysia beberapa kali memberi petunjuk kemunculan Honor 10 Lite dan hari ini, ia sudah dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan.

Bertempat di KL Live Centre, satu acara pengenalan telah dibuat menampilkan peranti itu yang dipasang dengan skrin LCD IPS berukuran 6.21 inci, beserta rekaan takuk menyerupai titisan air.



 

Bahagian pemprosesan peranti ini menggunakan cip Kirin 710 digandingkan bersama pilihan RAM 3/32GB dan RAM 3GB/64GB dengan sokongan tambahan melalui kad MikroSD sehingga 512GB.

Pandangan pada panel belakang memperlihatkan sistem dwi kamera, menggabungkan lensa 13MP (f/1.8) dengan sokongan PDAF diiringi sensor 2MP untuk keupayaan bokeh. Ciri yang paling menonjol pada tetapan dwi kamera belakang adalah Night Mode. Hasil rakaman waktu gelap tampak lebih jelas berbanding biasa.



Takuk titisan air disebelah hadapan pula dihuni dengan sensor tunggal 24MP dengan nilai aperture f/2.0. Antara faktor penarik bagi telefon pintar ini adalah kamera selfie yang dilengkapi dengan ciri AI, membolehkan ia mengenal pasti lebih dari 500 senario rakaman yang berbeza. Ia juga dikatakan mampu mempelajari rakaman selfie pengguna dan akan mengoptimumkan hasil foto dari masa ke masa.



Honor 10 Lite dijana dengan bateri berkapasiti 3400mAh yang dicas masuk melalui port pengecasan MikroUSB. Ia masih menyediakan bicu audio 3.5mm untuk penggunaan fon telinga berwayar.

Lain-lain ciri yang boleh ditemukan pada peranti ini adalah sambungan Bluetooth untuk 3 peranti dalam satu masa.

Bakal menemui peminat pada 9 Januari 2019 di HIHINOR.com, Honor 10 Lite dijual pada harga



  • Rm749 (RAM 3/32GB)

  • Rm 799 (RAM 3/64GB)


Pada hari esok (10 pagi 9 Januari 2019) di Lazada dan HIHONOR.COM anda boleh dapatkan Honor 10 Lite pada harga RM699 untuk variasi 32GB.