Harga NAND Flash Dijangka Naik Dengan Ketara Tahun Ini

Keseluruhan model storan didakwa akan meningkat sehingga 40%.


Berdasarkan kepada laporan oleh laman DigiTimes, keseluruhan harga NAND flash dijangka akan meningkat dengan ketara tahun ini. Peningkatan harga tersebut didakwa akan mencecah sehingga 40%.

Sekiranya dakwaan ini benar, pengguna akan berdepan dengan peningkatan pada harga perkakasan dan aksesori komputer seperti RAM dan stoiran SSD yang menggunakan NAND flash.

Menurut laporan itu, kesemua model storan SSD dari 2.5" SSD, M.2 SSDs dan NVMe dijangka akan terkesan dengan peningkatan harga NAND flash pada suku keempat tahun ini yang berpunca daripada beberapa faktor.

Salah satu faktor kepada peningkatan harga tersebut adalah kerana berpunca daripada kekurangan bekalan bahan yang digunakan untuk penghasilan NAND flash.

Tetapi insiden bekalan kuasa di kilang pengeluaran NAND flash Samsung dijangka akan menjadi faktor utama kepada isu peningkatan harga ini.

Berdasarkan kepada laporan Reuters, pada lewat tahun lalu, kilang Samsung Electronics di Hwaesong, Korea Selatan telah berdepan isu kegagalan kuasa selama seminit yang menyebabkan mereka terpaksa memberhentikan pengeluaran produk RAM dan perkakasan storan untuk beberapa hari.

Insiden singkat itu dijangka akan memberi kesan terhadap permintaan pasaran. Sekaligus menyebabkan Samsung kerugian berpuluh juta dolar.

Samsung merupakan firma pengeluar cip storan dan memori perkakasan komputer dan peranti elektronik terbesar di dunia ketika ini.

Sumber: PC Gamer

Berkaitan