Hanya RM5 Dikenakan Untuk Caj Penghantaran Barang Seberat 1kg Dari 15 April Hingga 15 Oktober 2020

Ditawarkan kepada pengguna yang berdaftar di portal digital setiap penyedia perkhidmatan pos dan kurier


Semalam, Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang berjumlah RM250 bilion untuk membantu rakyat yang terkesan akibat impak COVID-19.

Selain daripada sektor-sektor utama yang mendapat bantuan dalam pakej tersebut dari pihak kerajaan, perkhidmatan pos dan kurier juga turut membantu menyumbangkan dana berbentuk pembiayaan tunai, sistem dan peralatan ke Tabung GLC Disaster Relief Network (GDRN) berjumlah RM8.75 juta yang akan dikendalikan oleh Yayasan Hasanah.

Ia merupakan sebuah yayasan milik Khazanah Nasional dan disumbangkan kepada Kementerian Kesihatan.

Malah, syarikat-syarikat pos dan kurier utama turut bersedia untuk menyediakan perkhidmatan tambahan.

Ia termasuklah perkhidmatan penghantaran barang pos dan kurier tidak melebihi 1 kilogram pada caj RM5 tidak termasuk cukai bagi perkhidmatan penghantaran di dalam Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Kadar tersebut hanya ditawarkan kepada pengguna yang berdaftar di portal digital setiap penyedia perkhidmatan pos dan kurier. Pendaftaran di portal bertujuan untuk meningkatkan kecekapan usahawan dalam menguruskan kiriman mereka serta menggalakkan penggunaan kaedah tanpa tunai.

Caj perkhidmatan penghantaran itu berkuat kuasa selama enam (6) bulan bermula dari 15 April sehingga 15 Oktober 2020.

Sumber: SKMM