Baru-baru ini tular isu Grup Facebook “Budak-budak Sekolah Rendah”, yang menyiarkan gambar-gambar kanak-kanak disertai komen berunsur lucah. Difahamkan, grup tersebut sudah lama di Facebook sejak 2014 lagi. Biarpun grup tersebut sudah disekat tetapi ini merupakan perkara amat serius kerana melibatkan kanak-kanak dan remaja di bawah umur.

Bukan sahaja menjadi gangguan kepada mangsa, tetapi ia mendedahkan kelemahan serius dalam sistem pemantauan kandungan oleh AI Facebook, yang sepatutnya melindungi golongan paling rentan.
Walaupun Meta (syarikat di belakang Facebook, Instagram, WhatsApp) menyertai sistem AI untuk pantau kandungan, insiden seperti ini jelas menunjukkan ia bukan satu-satunya penyelesaian.
Grup sedemikian bukan sahaja sukar dikesan oleh sistem automatik, bahkan penguatkuasaan oleh platform juga lemah dan lambat.
Sehinggakan kandungan lucah, iklan perjudian haram, laman palsu, dan grup dengan niat tidak senonoh terus wujud.
Lesen media sosial: alasan dan realitinya di Malaysia
Kerajaan melalui MCMC telah memperkenalkan sistem Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berkuat kuasa sejak 1 Januari 2025.
Ia mewajibkan platform media sosial dan servis pesanan internet yang memiliki sekurang-kurangnya 8 juta pengguna di Malaysia untuk mendapatkan lesen. Tujuannya bukan untuk sekatan, tetapi memastikan platform mematuhi standard kandungan dan kualiti yang ditetapkan.
Setakat Mac 2025, hanya TikTok, WeChat dan Telegram telah menerima lesen, manakala Meta, X (Twitter), dan Google masih belum menerima lesen operasi.
Ini menimbulkan persoalan, mengapa platform terbesar seperti Facebook dan X masih belum dilesenkan?
Kelemahan kawalan kandungan di platform media sosial
AI ‘moderation’ bersifat reaktif – Sistem hanya bertindak selepas laporan dibuat yang mana membolehkan kandungan eksploitasi kanak-kanak tersebar terlebih dahulu.
Kandungan di dalam grup tertutup sukar dikesan – Kandungan dalam grup peribadi tidak mudah diakses oleh sistem; ini menambah risiko kelewatan tindakan.
Iklan judi & laman palsu masih berleluasa – Meskipun kerajaan boleh memerintahkan kandungan tertentu diturunkan, tindakan ini bersifat manual dan tidak konsisten.
Platform X terlalu bebas untuk generasi muda – Platform sebegini penuh dengan perkongsian video lucah, promosi seks komersial, dan kandungan dewasa yang mudah diakses golongan millennial dan Gen Z.
Telegram sebagai ‘hab’ video – Di Facebook kandungan video lucah memang akan terus disekat. Namun, Telegram yang ada lesen dilihat membenarkan video sedemikian dikongsi. Biasanya, grup Telegram ini akan mengenakan bayaran kepada individu yang mahu sertai.
Bandingan dengan TikTok
Berbeza dengan Facebook, TikTok telah proaktif dalam menyertai Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) serta mematuhi lesen ASP.
Hasilnya, TikTok lebih tegas dalam memantau kandungan berbahaya.
Malah, awal tahun ini, beberapa akaun media tempatan telah disekat atas pelanggaran kod kandungan.
Realiti ini menjadikan TikTok, walaupun sering dikritik ramai, ia jauh lebih baik dari segi mengawal selia kandungan yang dimuat naik di platform mereka.
Bukan setakat itu, komen-komen di TikTok pun diambil serius dan boleh merisikokan akaun pengguna disekat jika komen dikongsi melanggar garis panduan.
Cadangan tindakan untuk kerajaan dan MCMC
Segera denda/hukum platform media sosial
Meta, X, dan Google perlu dikenakan penalti atau dihalang daripada beroperasi jika terus gagal mematuhi peruntukan ASP. Walaupun kemungkinan untuk menyekat media sosial daripada beroperasi di Malaysia agak sukar dilakukan tetapi sekurang-kurangnya tindakan tegas perlu dibuat.
“Task Force Khas Media Sosial” perlu bertindak
“Special Task Force” sudah banyak kali saya dengar sejak dahulu lagi. Walaupun memang ada pemantauan dilakukan tetapi saya lihat lebih kepada penyebaran berita palsu.
Media sosial lebih daripada itu, bukan hanya berita tetapi segala aktiviti serta komen di platform ini juga perlu dipantau. Mana-mana individu yang didapati bersalah seperti menghantar komen jelik, perlu diambil tindakan segera.
Sekiranya individu itu bekerja di sektor awam atau swasta, lucutkan sahaja jawatan (jika kesalahan serius) khususnya melibatkan kes pedofilia.
Eksploitasi kanak-kanak dan kandungan lucah tidak boleh diambil enteng. Negara kita perlu lebih serius dan hukuman lebih berat perlu dilaksanakan bagi masalah ini.
Pantau penggunaan AI dalam kawal selia
Sekiranya AI digunakan untuk tujuan pengawasan, kerajaan perlu tetapkan garis panduan jelas dan audit keupayaannya dalam menangani kandungan berbahaya, bukan sekadar percubaan teknologi.
Tingkatkan peranan CMCF dan penekanan lesen ASP
Platform media sosial perlu diwajibkan mengambil bahagian secara aktif dalam kerangka kawal selia seperti CMCF. Ini termasuk audit berterusan, pelaporan bulanan, dan penalti jelas untuk pelanggaran.
Perkasakan undang-undang digital & pendidikan awam
Kerajaan perlu menambah modul keselamatan digital dalam pendidikan untuk ibu bapa dan remaja, supaya mereka lebih peka apabila berurusan dengan kandungan digital.
Silibus pelajaran berkaitan kandungan digital juga mungkin boleh diterapkan di sekolah sehinggalah peringkat universiti.
Peranan Platform – Meta & X harus bertindak

Meta perlu jujur bahawa AI semata-mata tidak mencukupi. Mereka harus:
- Bangunkan sistem pemantauan kandungan lebih proaktif, bukan sekadar algoritma reaktif.
- Wujudkan pasukan manusia khusus, bersedia bertindak segera.
- Wujudkan saluran laporan khas untuk kes eksploitasi kanak-kanak. Bukan dimasukkan dalam ‘laporkan pos biasa’.
X pula harus sedar bahawa platformnya sebahagian besar digunakan golongan muda, jadi kebijakan pemantauan perlu lebih ketat.
Walaupun Elon Musk suka platformnya bebas untuk bersuara tetapi bagi saya tiada ‘zon bebas’ untuk seks komersial dan kandungan lucah.
Kenapa segala ini penting
Media sosial kini ruang interaksi utama bagi generasi muda dan tua. Jika kandungan tidak dikawal, ia memberi kesan mendalam terhadap psikologi remaja, normalisasi eksploitasi seksual, dan mengukuhkan budaya victim blaming.
Kalau kerajaan dan platform hanya bertindak setelah isu tular, ia sudah terlambat. Mangsa pada waktu itu sudah terjejas.
Tahun ini, memang boleh lihat apabila masalah itu kerap berlaku dan serius sehingga kematian, barulah ramai pihak buka mata untuk mengambil tindakan.
Kesimpulan – Ini bukan pilihan, ini keperluan
Kes “Grup Budak Sekolah Rendah” bukan sekadar berita sensasi. Ia adalah panggilan dan isyarat untuk membentuk semula kawal selia digital di Malaysia.
Itu baru satu grup, mungkin ada lain yang kita tidak sedar.
Jika kerajaan lambat bertindak dan platform teknologi masih tidak dipaksa mematuhi piawaian, kita berisiko mewariskan ancaman siber yang lebih besar kepada generasi akan datang.
Ingatlah bahawa gen Z, Alpha, malah Beta merupakan aset masa depan negara. Mereka yang akan memimpin satu hari nanti. Kita tidak mahu mereka menghadapi tekanan atau kemurungan disebabkan media sosial.
Sudah tiba masanya kerajaan, agensi penguatkuasaan dan syarikat media sosial bekerjasama. Jangan tunggu isu jadi lebih parah baru mahu bertindak. Lindungi mereka yang paling mudah terjejas, sebelum segalanya terlambat.
Tindakan mesti dimulakan hari ini, bukan esok. Masa untuk tunggu dan lihat sudah berakhir.
{suggest}