Selepas bertahun-tahun memberi tumpuan kepada peranti mudah alih, Google dilaporkan sedang membangunkan sebuah komputer riba baharu dengan nama Google Pixel Laptop. Dengan kod nama ‘Snowy’, ia bakal menyertai barisan peranti premium.
Pixel Laptop ini dijangka hadir dengan kualiti binaan tinggi untuk memenuhi keperluan pengguna premium. Google dikatakan mahu memanfaatkan pengalaman mereka dalam reka bentuk minimalis dan kejuruteraan inovatif, seperti yang kita lihat dalam barisan telefon Pixel dan tablet Pixel.
Walaupun spesifikasi rasmi masih menjadi tanda tanya, persoalan utama adalah sistem operasi yang akan digunakan. Adakah ia akan menjalankan Chrome OS, sistem operasi kendalian Google yang ringan tetapi terhad, atau mungkin Windows, yang menawarkan daya tarikan lebih luas kepada pengguna arus perdana.
Jika Pixel Laptop menggunakan Chrome OS, ia mungkin menghadapi cabaran untuk menarik minat pengguna yang mahukan perisian profesional seperti Adobe atau aplikasi khusus industri. Namun, jika menggunakan Windows, ia boleh menjadi pencabar yang serius kepada jenama komputer riba premium lain.
Buat masa ini, tarikh pelancaran rasmi masih belum diumumkan. Namun, dengan perbandingan dalaman terhadap jenama-jenama besar, Pixel Laptop dijangka akan menjadi satu langkah berani oleh Google untuk memperluaskan lagi ekosistem Pixel.
{suggest}
Sumber: android headline