Juga penambahbaikan terhadap ciri keselamatan dan privasi kepada pengguna.
Google telah mengemas kini aplikasi pelayar Chrome kepada versi 76. Dalam versi 76 ini, Google Chrome kini turut menyokong tema gelap untuk pengguna komputer.
Tema gelap Chrome akan diaktifkan secara automatik mengikut tema yang digunakan oleh antaramuka sistem operasi komputer. Sebagai contoh bagi macOS Mojave, sekiranya penggunanya mengaktifkan tema gelap pada macOS tersebut, pelayar Chrome akan mengikuti antaramuka tema gelap yang diaktifkan pada macOS itu.
Selain daripada tema gelap, Google juga membaik pulih kelemahan ciri mod Incognito. Sebelum ini ciri tersebut dilaporkan telah membenarkan laman sesawang yang dilawati pengguna memeriksa sama ada pengguna itu sedang menggunakan mod Incognito ataupun tidak ketika melawati laman yang dilawati mereka.
Jadi, kemas kini terbaru ini menghalang laman sesawang daripada mengimbas mod yang sedang digunakan oleh pengguna pada pelayar tersebut.
Satu lagi kemas kini penting yang dibuat pada pelayar Chrome adalah tiada lagi butang pilihan kepada pengguna bagi mengaktifkan fungsi Flash.
Sebelum ini, pengguna masih boleh mengaktifkan flash pada pelayar Chrome jika diperlukan. Walaubagaimanapun, kini Google tidak lagi membenarkan pengguna mengaktifkan flash pada pelayar tersebut.
Tindakan ini dilihat bagi menyekat sepenuhnya flash daripada diaktifkan susulan daripada pengumuman yang dibuat oleh pembangunnya, Adobe yang akan menamatkan sokongan dan pembangunan flash pada tahun hadapan.
Selain daripada kemas kini yang disebut ini, Google turut mengemas kini ciri keselamatan pelayar Chrome hasil daripada penemuan-penemuan kecacatan keselamatan yang ditemui oleh pihak Google sendiri dan pihak luar.
Untuk kali ini, penyelidik keselamatan bernama Brendon Tiszka disenaraikan sebagai penerima ganjaran teringgi dari Google dalam kemas kini terbaru Chrome 76. Beliau menerima wang ganjaran sebanyak USD10,000 dari Google selepas melaporkan hasil penemuan beliau ke atas kelemahan ciri keselamatan pelayar Chrome versi sebelum ini.
Jadi sekiranya anda adalah antara pengguna pelayar Google Chrome, bolehlah mengemas kini aplikasi tersebut dengan segera.
Google Chrome 76 sudah tersedia untuk dimuat turun kepada pengguna sistem operasi Windows, macOS dan Linux dari laman rasmi Google Chrome.
Berkaitan
- Observatori Negara Langkawi Berjaya Rakam Imej Komet Berekor Sepanjang 800,000km
- Abaikan Saja Kemas Kini Mengarut Windows 10 Yang Ditawarkan Microsoft
- Benarkah Sony Akan Menghasilkan Alat Kawalan PS5 Bertemakan McDonald's?
- Pelanggan Apple Music Di Seluruh Dunia Kini Berjumlah 60 Juta
- Apple Mungkin Akan Perkenalkan Model Apple Watch Seramik Dan Titanium
- Microsoft Teams Pencabar Terbaru WhatsApp
- Orang Kedah, Jom Pakat 'Bayaq' Zakat Fitrah Menerusi Aplikasi Zakat On Touch
- Huawei Terpaksa Menangguhkan Cita-Cita Menjadi Pengeluar Telefon Pintar Terbesar Di Dunia
- MOSTI Akan Menerajui 'Space Tech Nexus' Dalam Pameran LIMA'23
- Pergerakan Rentas Negeri Dijadualkan Dari 7 Mei Hingga 10 Mei 2020