G-Shock One Piece Dan Dragon Ball Z Akan Diperkenalkan Julai Ini

Jenama jam tangan kegemaran ramai, G-Shock kini menyatakan dua model kolaborasi bersama manga popular One Piece dan Dragon Ball Z akan diperkenalkan secara rasmi Julai ini.


Kolaborasi kali ini menampilkan GA-110 sebagai model asas yang mana kedua-duanya akan ditawarkan dengan ciri siri popular Jepun tersebut.


ONE PIECE X G-SHOCK GA-110JOP-1A4


Ini bukanlah kolaborasi kali pertama judul anime yang tidak habis-habis lagi ini dan G-Shock. Terdahulu, G-Shock bertemakan One Piece telah hadir dengan model DW-6900 yang mempunyai pilihan warna hitam, merah serta putih.



Melalui penawaran kali ini, ia kelihatan lebih garang lagi dengan kombinasi warna antara putih, hitam dan merah gelap. Warna tersebut diserikan lagi dengan corak Luffy sedang melakukan serangan Gear Fourth.


https://www.youtube.com/watch?v=qZcjvV2-lFA&feature=emb_title

Pada bahagian dalaman pula dihiasi dengan topi jerami dan perkataan WANTED. Tidak dilupakan parut "X" yang ditinggalkan Akainu pada dada Luffy juga ada disematkan pada bahagian dalam. Ia hanya akan terlihat apabila jarum menunjukkan pukul 2 dan 4.


 
DRAGON BALL Z X G-SHOCK


Siri anime popular ini pula tampil dengan warna yang lebih meriah iaitu jingga dengan kemasan emas serta dihiasi wajah Son Goku.


Antara elemen lain yang hadir pada model ini adalah huruf Z yang berada jam 3 serta imej mutiara naga di dail sebelah kiri. Bahagian belakang pula diukir dengan perkataan Dragon Ball Z.


https://www.youtube.com/watch?v=n4oCyWTUfM0&feature=emb_title

Harga jualan kedua-dua model ini untuk pasaran Jepun telah ditetapkan pada JPY 26,400 (termasuk cukai) iaitu kira-kira ~RM1051, berdasarkan tukaran matawang semasa. Penawaran akan dimulakan untuk pasaran Jepun dan Asia pada Julai sementara Eropah dikatakan bakal menyusul kemudian.

Sumber: G-Central