Facebook Messenger Kini Hadir Dengan Fungsi Alih Bahasa Secara Automatik

Pada persidangan pembangun Facebook (F8) yang lalu, pihak Facebook telah mengumumkan beberapa pembaharuan yang akan dibawa ke laman media sosial popular berkenaan. Antaranya ialah sokongan fungsi alih bahasa secara automatik pada fungsi permesejannya, Facebook Messenger.

Sehubungan dengan itu, fungsi berkenaan sudah pun boleh digunakan sejak beberapa hari lalu. Bagaimanapun, fungsi berkenaan hanya dapat digunakan oleh pengguna Facebook di Amerika dan Mexico sahaja buat masa ini.

Pada peringkat permulaan, bot AI bagi Messenger yang digelar sebagai M hanya boleh menjalankan peralihan bahasa di antara bahasa Inggeris dan bahasa Sepanyol sahaja. Namun, Facebook menjanjikan lebih banyak variasi bahasa akan dibawa masuk bagi fungsi ini pada masa akan datang.



Menurut sumber, sekiranya mesej yang dihantar menggunakan Messenger bukan merupakan bahasa asal yang digunakan penerima, satu pop-up akan muncul dan menawarkan untuk mengalih bahasa kepada bahasa yang digunakan. M seterusnya akan mengalih bahasa berkenaan dengan segera.

Fungsi ini dijangka akan dapat membantu pengguna dalam berkomunikasi dan memberi maklum balas di antara satu sama lain. Tambahan pula, fungsi terbaru ini akan membantu Facebook untuk mencapai objektif asal mereka dalam mewujudkan perhubungan tanpa sempadan di seluruh dunia.

Sumber