Facebook Dilaporkan Akan Membuka Kedai Kopi Di UK Bermula Ogos Ini

Cafe tersebut adalah bagi membantu pengguna Facebook yang tidak tahu membuat tetapan privasi media sosial tersebut.


Jika anda pengguna tegar media sosial Facebook, tetapi pening atau ringkasnya anda tidak tahu cara membuat tetapan privasi akaun Fb anda, kini anda boleh mendapatkan bantuan dari kakitangan Facebook dengan pergi sahaja ke kedai kopi Facebook Cafe, di United Kingdom.

Facebook Cafe dikhabarkan akan mula dibuka pada 28 dan 29 Ogos hingga 5 September ini di beberapa lokasi berbeza di seluruh UK.

Walaubagaimanapun, kedai kopi Facebook ini bukanlah sepertimana kedai kopi popular Starbuck atau Coffee Bean & Tea Leaf, sebaliknya ia hanyalah kedai kopi kecil sementara yang dibuka bagi membantu pengguna Facebook membuat tetapan privasi untuk akaun mereka.

Setiap pengguna Facebook yang hadir di kedai kopi FB itu pula akan menerima minuman kopi percuma dari menu terpilih jika mereka turut serta untuk membuat semakan tetapan privasi akaun FB mereka.

Langkah yang diambil FB ini adalah susulan daripada kaji selidik yang mendapati 27% pengguna FB di UK tidak tahu membuat tetapan privasi akaun FB mereka.

Namun begitu, Facebook bukanlah popular dikalangan pengguna yang mengutamakan privasi. Facebook baru-baru ini sekali lagi telah berdepan dengan isu privasi selepas didakwa membayar beratus kontraktor luar menyalin dan membuat transkripsi dari klip rakaman audio Facebook Messenger.

Sumber: Evening Standard