Elakkan Dari Jadi Mangsa 'Qshing', Ikuti Tip Ini Sebelum Mengimbas Kod QR

Penggunaan kod QR bukan sesuatu yang asing lagi kini di mana ia digunakan secara meluas di seluruh dunia untuk pelbagai perkara.

Dari mengimbas untuk masuk daftar sesuatu premis sehinggalah untuk melihat menu makanan ia boleh dilakukan hanya dengan mengimbas kod QR.

Malangnya teknologi ini kini turut dimanipulasikan oleh penjenayah siber sebagai salah satu cara berkesan untuk mereka menipu mangsa. Teknik penipuan melalui kod QR dikenali sebagai 'Qshing'

Berdasarkan kepada laporan kaji selidik yang dijalankan oleh Ivanti, kod QR kini menjadi ancaman utama pada keselamatan data pengguna.

Ini kerana, sukar untuk pengguna mengetahui adakah sesuatu kod QR yang diimbas itu palsu ataupun tidak. Adakah ia memberikan maklumat seperti yang sepatutnya atau ia membawa pengguna ke pautan yang diragui.

Jadi, di sini dikongsikan tip untuk anda supaya lebih selamat sebelum mengimbas sebarang kod QR

1. Fikir dulu sebelum imbas


Disebabkan kod QR boleh dipaparkan di mana-mana sahaja, langkah terbaik sebelum mengimbas kod tersebut adalah anda berfikir dulu perlukah anda mengimbas kod QR tersebut.

Sentiasalah peka dan berhati-hati keberadaan sesebuah kod QR itu. Jadi, fikir dulu sebelum imbas.

2. Sumber kod QR


Seperti yang dinyatakan awal tadi, kod QR boleh dipaparkan di mana-mana sahaja dan anda boleh menerima kod QR dari sesiapa saja. Sama ada dicetak ataupun dihantar melalui e-mel.

Jika anda ada menerima kod QR menerusi e-mel ataupun melalui aplikasi permesejan, maka langkah terbaik yang boleh diambil adalah dengan tidak mengimbas kod QR tersebut kerana sumbernya diragui.

3. Gunakan aplikasi pengimbas kod QR


Salah satu cara selamat untuk anda mengimbas sesuatu kod QR adalah dengan menggunakan aplikasi pengimbas kod QR.

Ini kerana aplikasi pengimbas kod QR biasanya akan memaparakan terlebih dulu alamat pautan (URL) laman sesawang yang akan dibuka oleh kod QR tersebut.

Jadi pastikan anda menyemak terlebih dulu URL tersebut dengan memastikan ia adalah URL yang betul.

Sesetengah aplikasi pemgimbas kod QR juga kini mampu memberi amaran kepada pengguna jika ia mengesan keraguan pada URL itu sebelum anda dibawa ke laman sesawang tersebut.

4. Jangan masukkan data peribadi


Jika tiba-tiba imbasan kod QR membawa anda ke laman sesawang yang memerlukan anda memasukkan data peribadi seperti maklumat perbankan, maka beredarlah dari laman tersebut.

Pasti ada yang tak kena dengan kod QR itu.

Kesimpulan


Apa yang dapat disimpulkan di sini adalah, sebenarnya sebagaimana anda berhati-hati apabila tekan pada pautan yang diragui, maka ia samalah juga terpakai pada mengimbas kod QR.

Jangan begitu mudah mengimbas sesuatu kod QR yang dipaparkan dalam pelbagai bentuk sama ada bercetak, paparan digital mahupun dipaparkan oleh dron.

Jadilah pengguna peka dan bijak bagi mengelakkan anda daripada menjadi mangsa scam melalui kod QR.

Sumber: Ivan, State Bank of India, CISO Mag

Baca juga: