EA Sahkan Tiada Pengenalan Baru Siri Battlefield Untuk Tahun Hadapan

Tidak seperti permainan Call of Duty yang memperkenalkan siri baru setiap tahun, peminat Battlefield perlu menunggu lebih kurang dua tahun setiap judul permainan. Seperti contoh Battlefield 3 dilancarkan pada 2011, Battlefield 4 pada 2013, Hardline pada 2015, Battlefield 1 pada 2016 dan Battlefield 5 pada 2018.

Namun jika anda mengharapkan sebarang penawaran baru bagi siri Battlefield, ini mungkin perkhabaran yang sedikit mengecewakan kerana EA telah mengesahkan tiada permainan Battlefield yang akan dilancarkan tahun hadapan.

Difahamkan bahawa, judul baru bagi Battlefield mungkin dilancarkan pada tahun kewangan 2022 (bermula pada April 2021 sehingga Mac 2022), tempoh yang sedikit lama berbanding sebelum ini.

EA menyatakan langkah ini dibuat kerana syarikat mahu menyasarkan kepada inovasi baru yang bakal dibawa pada platform seterusnya. Dalam pada itu, EA turut berjanji akan memberikan penambahan kandungan serta cara permainan baru bagi Battlefield 5 bagi tahun kewangan 2021

Selain itu, sambutan hangat yang diberikan kepada Apex Legends juga merupakan faktor keputusan itu dibuat yang mana fokus utama bakal diberikan pada permainan yang sudah mencecah  70 juta pemain seluruh dunia.

Sumber: UberGizmo