Dilaporkan Ada Kebocoran Data Melibatkan 220,000 Penderma Organ Malaysia

Kira-kira tiga bulan yang lepas, negara kita telah dikejutkan dengan laporan kebocoran data peribadi lebih jutaan rakyat Malaysia yang melibatkan sejumlah besar data dari syarikat telco, Jobstreet, agensi-agensi kesihatan serta pinjaman rumah.

Terbaru, perkara yang hampir sama dilaporkan berulang tetapi kali ini ia melibatkan Pusat Sumber Transplan Nasional.

Difahamkan kebocoran itu membabitkan maklumat peribadi penderma organ termasuk waris-waris mereka.

Antara yang tertiris adalah nama penuh, nombor kad pengenalan, nama waris, alamat tempat tinggal, nombor telefon, e-mel dan beberapa informasi penting lain.

Kebocoran ini dikenal pasti bermula seawal bulan September 2016 dengan melibatkan maklumat penderma dari tahun 2009 sehingga 2016.

Pihak Pusat Sumber Transplan Nasional menyatakan mereka sudah bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Sumber: Lowyat.net