Selepas bertahun-tahun pembangunan, Apple akhirnya memperkenalkan C1, modem selular pertama rekaannya sendiri.
iPhone 16e menjadi peranti pertama dilengkapi cip C1, menggantikan cip Qualcomm yang sebelum ini menjadi komponen utama untuk sambungan 5G dalam iPhone.
Dari segi keupayaannya, Apple mendakwa C1 mampu menawarkan sambungan selular 5G yang pantas dan stabil.
Selain itu, modem baharu ini turut meningkatkan kecekapan tenaga iPhone 16e, memberikan jangka hayat bateri lebih lama berbanding mana-mana iPhone dengan paparan 6.1 inci, termasuk iPhone 15 dan iPhone 16 – menyokong tontonan video sehingga 26 jam.
Memperluaskan kelebihan Apple Silicon, C1 ialah modem pertama yang direka oleh Apple dan merupakan modem paling cekap tenaga yang pernah ada dalam iPhone, menawarkan sambungan selular 5G yang pantas dan boleh dipercayai. Apple Silicon — termasuk C1 — bersama reka bentuk dalaman serba baharu dan pengurusan kuasa canggih dalam iOS 18, semuanya menyumbang kepada jangka hayat bateri yang luar biasa.
Bertahun-tahun lalu, Apple menggunakan modem Intel dan Qualcomm dalam generasi iPhone yang sama. Namun, pengguna lebih memilih Qualcomm, menyebabkan Intel menjual majoriti perniagaan modemnya kepada Apple pada 2019.
Menariknya, Apple hanya memperuntukkan dua ayat dalam siaran akhbar dan sekitar 15 saat dalam video pengumuman untuk modem C1, membayangkan adanya strategi tertentu di sebalik pendekatan ini.
Lebih-lebih lagi, ia diperkenalkan pada iPhone 16e dan bukan pada model utama, menunjukkan pendekatan yang lebih berhati-hati. Seperti kata Mark Gurman dari Bloomberg, ini mungkin disebabkan oleh isu royalti Qualcomm serta kebimbangan terhadap perbandingan prestasi.
Buat masa ini, iPhone 16 dan iPhone 16 Pro masih menggunakan cip Qualcomm. Adakah keadaan akan berubah dengan barisan iPhone 17, atau Apple akan mengambil masa setahun lagi untuk menilai prestasi C1 dalam penggunaan sebenar? Hanya masa akan tentukan.
{suggest}
Sumber: Apple Newsroom
Gambar utama: Apple