CS: GO Kini Dengan Danger Zone, Mod Baharu Dengan Permainan Battle Royale Tersedia Di Dalamnya

Counter Strike: Global Offensive (CS: GO) merupakan permainan FPS yang popular yang mengambil konsep permainan Counter Strike sebelum ini yang melibatkan pasukan polis dan juga pengganas. CS: GO yang boleh didapati di Steam adalah satu permainan yang perlu dibeli dan mengekalkan konsep permainan yang sama bagi francais tersebut.

Namun dengan kebangkitan permainan berkonsepkan battle royale yang menghimpunkan sebilangan besar pemain dalam satu-satu masa seperti PUBG dan Fortnite telah membuatkan kedudukan CS: GO sedikit goyah. Sehubungan itu, Valve telah memperkenalkan Danger Zone, mod terbaru dalam permainan CS: GO yang mengguna pakai konsep Battle Royale di dalam permainan mereka.

Malah, CS: GO yang berbayar sebelum ini telah ditukar kepada Free-to-Play bagi menarik minat orang untuk mencuba mod terbaru mereka. Untuk Danger Zone, seramai 18 pemain atau 16 pemain (jika bermain seorang diri) akan ditempatkan di dalam satu peta untuk satu sesi. Ini bermakna, setiap sesi permainan akan segera tamat berbanding permainan-permainan Battle Royale di luar sana.



Koleksi senjata pula akan menggunakan sistem senjata sedia ada yang ada di dalam CS: GO yang boleh dijumpai di sekitar peta. Pemain juga boleh memesan senjata sendiri dan dihantar melalui dron. Pemain boleh memesan senjata melalui tablet yang disediakan di dalam permainan yang juga berfungsi sebagai alat pengesan musuh. Semuanya boleh dilakukan dengan menggunakan wang permainan yang turut didapati di sekitar peta atau menyelamatkan karakter NPC ke kawasan selamat.

Pemain terkenal PUBG, Shroud juga turut mencuba mod terbaru ini:

https://youtu.be/J_7GrZ7PVwE

Untuk maklumat lanjut, ikuti FAQ Valve dan kepada pemain sedia ada CS: GO yang telah membeli permainan tersebut, anda akan mendapat beberapa manfaat berikutan penukaran status CS: GO kepada Free-to-Play.