Ciri Keselamatan Windows 7 Masih Akan Terus Dikemas Kini Walaupun Selepas Microsoft Menamatkan Sokongannya

Microsoft Security Essentials akan terus menerima kemas kini selepas 14 Januari 2020.


Seperti yang diketahui umum, Microsoft akan mula menamatkan sokongan sepenuhnya terhadap sistem operasi Windows 7 selepas daripada 14 Januari 2020 nanti.

Bermakna sebarang kemas kini ciri dan sokongan lain tidak lagi akan diterima oleh pengguna yang masih menggunakan sistem operasi usang tersebut.

Windows 7 pertama kali dilepaskan pada 22 Oktober 2009 dahulu. Maka tidak hairanlah selepas lebih 10 tahun, sudah tiba masanya Microsoft menamatkan sokongan dan pembangunan terhadap sistem komputer lapuk tersebut.

Walaubagaimanapun, semakan terhadap laman Windows 7 support lifecycle mendapati, ciri keselamatan Microsoft Security Essentials (MSE) masih akan terus menerima kemas kini selepas 14 Januari nanti.

"Microsoft Security Essentials (MSE) will continue to receive signature updates after January 14, 2020." Microsoft.

MSE merupakan perisian antivirus percuma yang dibangunkan Microsoft bagi melindungi pengguna untuk sistem operasi komputer Windows 7 dan Vista dari serangan virus, perisian intip dan perisian hasad lain.

Walaupun MSE akan terus dikemas kini, tetapi tidak dinyatakan sampai bilakah Microsoft akan terus menghantar kemas kini pada perisian tersebut.

Malah, pengguna Windows 7 juga tidak disyorkan untuk terus menggunakan Windows 7 kerana sistem komputer lapuk itu gemar dijadikan lubuk penggodam bagi menyerang mangsanya.

Oleh itu, pengguna disyorkan supaya segera menaik taraf sistem komputer Windows mereka kepada sistem operasi terkini iaitu Windows 10.

Sebelum ini telah dikongsikan bahawa pengguna Windows 7 masih boleh menaik taraf kepada Windows 10 secara percuma.