CIMB Saman Balas Mereka Yang Dibekukan Akaun, Minta RM1.39 Juta Dengan Faedah

Pada Januari 2022, sebahagian pelanggan CIMB melaporkan mereka secara tiba-tiba menerima makluman bahawa mempunyai hutang dengan CIMB. Ada antara mereka dikatakan berhutang sekitar RM30 ribu.

Melalui penjelasan CIMB, hal ini terjadi akibat dana pendua (duplicate funds) yang dikreditkan ke dalam akaun pelanggan, justeru bank akan mendebit semula duit untuk dibayar kepada bank CIMB.

Dilaporkan sekitar 11,000 pelanggan terkesan dan pihak bank kemudian memohon maaf atas ralat pemprosesan tersebut serta berjanji akan menyelesaikannya. Sehubungan kejadian tersebut, CIMB telah bertindak membekukan akaun pelanggan.

Awal Mac tempoh hari, 12 pihak terdiri daripada 9 individu dan 3 syarikat telah bertindak untuk memfailkan saman terhadap CIMB Bank dan CIMB Islamic dengan mendakwa pembekuan akaun mereka telah melanggar kontrak. Mereka juga berkata ralat pemprosesan adalah salah pihak bank, bukan pengguna.

Lapor FMT, CIMB pula kini mengambil tindakan memfailkan saman balas terhadap 12 pihak tersebut pada 30 Mac 2022. Bukan itu sahaja, pihak bank juga mahu perintah dikeluarkan untuk kesemua mereka membayar balik RM1.39 juta yang dikreditkan secara tidak sengaja ke dalam akaun mereka bersama tambahan faedah.

Menurut CIMB, 12 pihak tersebut tidak memaklumkan apabila tambahan dana pendua dipindahkan ke dalam akaun mereka. Jadi, mengikut kontrak yang sah, CIMB mempunyai kuasa untuk mendapatkan semula jumlah dana pendua tersebut.

CIMB menegaskan yang mereka tidak melanggar sebarang kontrak dengan pemegang akaun. Melalui terma dan syarat dipersetujui pelanggan, bank itu mempunyai hak untuk mendebit atau menahan mana-mana akaun yang diingini mereka.

“Plaintif juga menerima, menikmati dan mengambil kesempatan melalui kredit pendua yang tersilap dikreditkan ke dalam akaun plaintif disebabkan kesilapan pemprosesan pemindahan MoneySend yang tidak disengajakan seperti dalam rayuan,” menurut kenyataan pembelaan oleh CIMB.

Jelas bank itu lagi, masalah ini terhad kepada pelanggan yang melakukan pemindahan antarabangsa ke tempatan dan berjanji untuk menawarkan penyelesaian untuk pelanggan yang terjejas.

Sumber: Free Malaysia Today

Baca juga: