Januari lalu, seorang pemegang akaun CIMB terkejut apabila mendapati dia secara tiba-tiba dimaklumkan CIMB bahawa dia perlu membayar sekitar RM30 ribu kepada bank tersebut. Ini menyebabkan pengguna seluruh Malaysia turut menyemak akaun mereka dan sesetengahnya mendapati turut terlibat dalam isu yang sama bahkan dengan jumlah yang lebih besar.
Sekitar 11,000 pengguna terkesan dan CIMB mengeluarkan kenyataan bahawa perkara ini terjadi disebabkan kesilapan pemprosesan dan akan menyelesaikannya secepat mungkin. Kebanyakan akaun yang terkesan ini kemudiannya dibekukan oleh CIMB.
Ekoran itu, 9 individu dan 3 syarikat telah memfailkan saman terhadap CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad, mendakwa pembekuan akaun mereka telah melanggar kontrak. Mereka juga berkata ralat pemprosesan adalah salah pihak bank, bukan pengguna.
Berikutan pembekuan itu, mereka tidak dapat mengeluarkan wang gaji dan membayar pinjaman. Bukan itu sahaja, mereka turut diganggu pemungut hutang bagi pihak CIMB meminta mereka membayar semula hutang.
Selain meminta mahkamah untuk mengarahkan pihak bank menyahbeku akaun, mereka juga menuntut ganti rugi teladan dan pembayaran balik yuran untuk peguamcara mereka.
Peguam Nazmi Mohd Zaini berkata surat tuntutan telah dihantar oleh 12 pihak ini dalam saman itu kepada CIMB, menuntut supaya akaun mereka dinyahbekukan, permohonan maaf dan pampasan RM1 juta setiap seorang atas kesukaran yang dialami akibat tidak dapat menggunakan akaun mereka.
Menurut Nazmi, ratusan pemegang akaun lain juga telah menghubungi beliau untuk mengambil tindakan sama terhadap CIMB.
Sumber: Free Malaysia Today
Baca juga: