CFM ANIMATCH 2019 - Peluang Penggiat Dunia Animasi Tempatan Untuk Rebut Wang Tunai Sehingga RM20,000

Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia(CFM) baru-baru ini telah mengumumkan akan mengadakan pertandingan "CFM ANIMATCH 2019" sebagai platform untuk penggiat dunia animasi tempatan mengetengahkan bakat mereka.

Pertandingan berkenaan menawarkan hadiah wang tunai yang menarik iaitu RM8,500 untuk juara, RM5,000 bagi naib juara, RM3,000 untuk tempat ketiga dan RM500 bagi setiap 7 finalis yang lain.

Ini menjadikan hadiah keseluruhan yang ditawarkan adalah berjumlah RM20,000. Peserta yang berminat boleh melalukan pendaftaran di pautan ini. Penyertaan boleh dihantar secara individu atau berkumpulan(maksimum tiga orang).



Peserta akan diberikan topik-topik berkaitan isu yang sering dihadapi oleh pengguna dengan penyedia perkhidmatan. Ia termasuk mengenai perkhidmatan selular, jalur lebar serta kandungan haram.

Mereka perlu melalui tiga peringkat kelayakan sebelum 10 penyertaan akan dipilih sebagai finalis dan diberi peluang menyertai "boot camp animasi" di Cyberjaya pada 30-31 Mac nanti.

Finalis juga diberikan kesempatan untuk menimba ilmu dengan pakar animasi seperti Hassan Abd Muthalib(Bapa Animasi Negara), Mike Ismail(Pengarah Animasi 2D) dan Ayie Ibrahim(Pengarah Animasi Creatvtoon Studio). Pemenang juga akan diumumkan semasa program boot camp tersebut.

Menurut CFM, pertandingan ini bukan sahaja bertujuan mencari bakat-bakat kreatif tempatan, namun menjadikan animasi sebagai alat penyampai mesej-mesej CFM dalam isu-isu berkaitan pengguna telekomunikasi dan multimedia.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai atau mengikuti lebih lanjut mengenai pertandingan ini, anda boleh ikut laman rasmi Communications & Multimedia Consumer Forum of Malaysia(CFM) di Facebook.

 

Sumber: Communications & Multimedia Consumer Forum of Malaysia(CFM)