Black Shark 4 Pro, Tetapan Grafik Tinggi Buatkan Telefon Terlalu Panas Untuk Dipegang

Black Shark terkenal dengan fungsinya sebagai sebuah telefon gaming. Ia didatangkan dengan ciri butang magnetik pertama pada telefon pintar menjadikan telefon ini antara telefon gaming yang popular.

Selain siri Black Shark 4, Redmi K40 Gaming Edition juga didatangkan dengan butang magnetik yang dijual di pasaran China. Sayangnya, telefon ini tidak masuk ke pasaran Malaysia dan hanya ke pasaran India dengan menggunakan nama Poco F3 GT.

Selain daripada butang magnetik, apa lagi yang menarik tentang telefon ini? Jadi dalam artikel kali ini saya akan kongsikan ulasan penuh saya mengenai Black Shark 4 Pro ini.

Prestasi Snapdragon 888 ketika main game


Sebelum ini, saya juga ada menulis artikel reaksi awal berkenaan dengan telefon ini. Jadi untuk ketahui spesifikasi lanjut anda boleh klik pautan ini.

Seperti yang anda tahu, Black Shark 4 Pro ini menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 888 yang mana ia merupakan cipset andalan untuk model telefon andalan tahun lepas. Tapi kalau telefon tahun lepas kenapa baru nak ulas? Ini kerana Black Shark Malaysia baru sahaja lancarkan telefon ini pada 17 Januari 2022 yang lalu dan dijual secara rasmi pada 4 Februari 2022 lalu.

Kembali semula pada prestasi, seperti jangkaan kita sebuah telefon yang menggunakan cipset Snapdragon 888 sememangnya tiada masalah untuk memberikan prestasi yang mantap. Kalau main game Genshin Impact, Call of Duty Mobile, Mobile Legends tu boleh tetapkan pada grafik maksimum. Memang tiada masalah.

Tambah pula dengan ciri butang magnetik, saya memang dapat kepuasan yang tidak boleh dapati pada telefon lain termasuk ROG Phone 5 lebih-lebih lagi ketika main game genre FPS (First-Person-Shooting). Walaupun ROG Phone 5 mempunyai ciri Air Trigger, pengalaman tekan butang fizikal dan butang sentuh kapasitif bagi saya sangat berbeza.



Telefon ini juga mempunyai bicu audio 3.5 mm. Jadi kalau anda selalu main game guna fon telinga tu, anda ada lebih pilihan. Sama ada guna TWS ataupun fon telinga berwayar. Tapi kalau anda jarang guna fon telinga seperti saya, anda boleh bergantung pada pembesar suara telefon ini kerana ia mempunyai ciri pembesar suara stereo. Jadi anda boleh dengar dari arah mana musuh datang.



Walaupun dapat memberikan prestasi yang baik, terdapat kekurangan yang buatkan saya tidak dapat menikmati pengalaman gaming yang maksimum. Masalah ini adalah berkenaan dengan suhu yang tinggi ketika main game Genshin Impact dengan tetapan grafik maksimum.



Ya, memang telefon ini boleh mainĀ  dengan grafik tinggi tetapi telefon memang akan jadi sangat panas sampaikan saya tidak boleh pegang lagi telefon ini. Walaupun dengan menggunakan Fun Cooler 2, ia masih lagi panas. Nak tak nak, saya perlu tetapkan grafik pada sederhana.

Ketika main game Call of Duty Mobile dan Mobile Legends pula, suhu masih stabil, tak ada masalah walaupun saya dah main dalam tempoh masa yang lama.


Nak guna sebagai telefon harian pun tiada masalah


Apa lagi yang saya minat tentang telefon ini adalah saiznya yang tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Selain itu, beratnya tidak terlalu berat jadi ia memang sesuai untuk jadi peranti harian.

Telefon ini juga tidak mempunyai rekaan gaming yang terlampau menonjol seperti rekaan pada Black Shark 3.



 

Bateri Black Shark 4 Pro ini berkapasiti 4,500 mAh, untuk guna seharian tu tiada masalah. Kalau anda selalu main game dan bateri cepat habis, anda tidak perlu risau kerana dalam kotak anda akan diberikan palam pengecasan 120W yang boleh mengecas penuh telefon ini dalam masa 15 minit sahaja.



Nak buat tengok filem pun tiada masalah. Seperti yang saya katakan tadi, disebabkan ia mempunyai bicu audio jadi anda boleh layan filem dengan gunakan fon telinga atau guna pembesar suara sahaja.

Butang kuasa yang merangkap pengimbas cap jari ini memang pantas. Bagi saya, saya minat lagi pengimbas cap jari pada butang kuasa daripada pengimbas cap jari pada skrin kerana ia lebih pantas.

Bercakap tentang butang kuasa, kelemahan yang saya dapati ialah kedudukannya yang betul-betul bertentangan dengan butang laras audio. Saya rasa anda dah dapat agak apa masalahnya. Ya, tangkap layar. Disebabkan ia bertentangan, kadang-kadang saya akan tertangkap layar ketika saya hendak mengunci telefon ini.



Selain itu, butang magnetik juga ada masalahnya sendiri. Disebabkan ia mempunyai butang gelongsor untuk buka butang magnetik ini, kadang-kadang ia terbuka sendiri bila saya masukkan atau keluarkan telefon daripada poket.

Kamera telefon gaming ni biasa-biasa je


Seperti kebiasaan, telefon gaming ini akan memfokuskan pada fungsi dan ciri gaming, dan fungsi kamera ini akan jadi sekadar melengkapkan ciri sebuah telefon.

Tetapi jangan salah anggap, walaupun ia tidak memfokuskan kepada kamera, ia masih mampu menangkap gambar dan hasilnya masih lagi sedap mata memandang.



Untuk hasil gambar kamera utama dan potrait, imej yang dihasilkan bagi saya masih lagi cantik. Walaupun bokeh untuk potrait tidak terlalu tepat, namun jika sekali pandang anda tidak akan perasan sangat potongan bokeh tersebut.



Imej sudut lebar juga bagi saya agak memuaskan. Luas darjah bukaannya tidak telalu besar. Namun jika dibandingkan dengan imej kamera utama, dapat dilihat yang yang imej sudut lebar ini agak kurang perincian dan white balance lebih kearah kekuningan.



Hasil dari mod malam juga bagi saya okey. imej yang dihasilkan tajam dan jelas. disebabkan Black Shark tidak terlampau memproses imej tersebut, hasil pada gambar akan terdapat sedikit hingar (noise). Oleh itu, imej lebih tajam dan lebih tepat.


Masih sebuah telefon gaming yang menarik


Secara keseluruhannya, Black Shark 4 Pro ini masih lagi sebuah telefon gaming yang menarik sepanjang penggunaan saya. Dengan ciri butang magnetik, ia dapat memberikan pengalaman yang tidak dijumpai apabila menggunakan telefon lain. Ditambah pula dengan fungsi pengecasan pantas 120W, saya dapat menikmati game tanpa henti menggunakan telefon ini.

Baca juga: