Black Shark 4 Pro - Dah Berusia Setahun, Adakah Anda Terpancing Untuk Membeli?

Hampir setahun selepas ia dilancarkan, kini peranti ini secara rasminya 'berenang memasuki perairan' Malaysia. Ini lah dia Black Shark 4 Pro.

Sebelum itu, ini spesifikasi ringkas peranti ini:

  • Skrin: 6.67 inci, Super AMOLED, 144Hz kadar segar semula

  • Cip pemprosesan: 5nm Snapdragon 888 5G (Adreno 660)

  • Memori: RAM 8GB, Storan 128GB (UFS 3.1)

  • Kamera: 64MP(f/1.8) Utama +8MP(f/2.2) ultra lebar + 5MP(f/2.4) makro

  • Swafoto: 20MP(f/2.5)

  • Bateri: 4,500mAh, pengecasan pantas 120W

  • Perisian: Joy UI 12.5 (Android 11)

  • Model ulasan: 8GB RAM, 128GB storan


Pengalaman Buka Kotak


Pertama sekali, saya cerita dahulu pengalaman buka kotak Black Shark 4 Pro ini. Pada kotak bungkusannya memang menampakkan ciri-ciri 'gaming' dengan logo Black Shark pada tengah-tengah kotak ini.

Pada bahagian dalam pula, seperti kebiasaannya kita akan mendapat sarung pelindung, palam pengecas 120W, wayar USB-A ke USB-C dan semestinya telefon itu sendiri.



Kita letak tepi aksesori-aksesori ini dan fokus pada peranti ini. Bila pegang telefon ini, memang terasa solid dan agak tebal sebenarnya. Bila dah tebal, telefon ni pun  jadi sedikit berat dengan beratnya 220g.

Jadi, perkara yang menarik untuk Black Shark ini adalah ciri butang fizikal magnetiknya yang terdapat pada bahagian kiri telefon ini. Selain itu, pengimbas cap jari juga berada pada bahagian kiri ini.



Pada bahagian kanan pula terdapatnya butang pembesar suara dan dulang SIM. Bahagian bawah pula terdapatnya pembesar suara, lubang pengecasan dan bicu audio 3.5mm. Bahagian atas pula terdapat lagi satu pembesar suara. Ya, telefon ini ada sistem audio stereo.

Pada panel belakang, kita akan dapat melihat tetapan tiga sistem kamera, logo Black Shark pada bahagian tengah dan LED pada bahagian bawah kamera. Namun saya tertanya-tanya mengapa Black Shark tidak sekalikan LED tu pada logonya sahaja. Panel belakang ini juga tidak banyak menampilkan corak dan binaan plastik ini sangatlah mudah memerangkap cap jari.


Reaksi Awal


Tetapan awal sama sahaja seperti peranti Android yang lain. Tiada gimik seperti yang terdapat pada Asus ROG Phone 5. Black Shark ada menyertakan ciri pembantu maya (digital asisstant) pada model kali ini yang dinamakan sebagai Shark Chan. Kita dapat berinteraksi dengan Shark Chan ini bila kita menyentuhnya. Buat masa ini, dialog Shark Chan ini sangat terhad. Oleh kerana ia terbatas, boleh saya gelarkan ia hanya sebagai 'gula-gula' untuk pengguna. Tiada tugasan penting yang boleh dilakukan oleh si cantik manis ini. Namun, saya puji juga langkah Black Shark ini kerana mengetengahkan pembantu maya yang lain daripada kebiasaan.



Saya sentuh sekali lagi berkenaan dengan butang fizikal magnetik, saya suka dengan mekanisme untuk butang ini. Butang ini juga bagi saya selesa untuk ditekan dan suis untuk butang ini kukuh dan bagi saya tidak mudah untuk longgar.

Yang terakhir saya ingin sentuh ialah pengimbas cap jari. Walaupun telefon ini menggunakan skrin jenis AMOLED, Black Shark tidak menyertakan ciri pengimbas cap jari bawah skrin tetapi pada butang kuasa. Bagi saya, ia lebih mudah kerana pengimbas pada butang kuasa lebih laju berbanding dengan pengimbas cap jari bawah skrin.

Rumusan


Bagi saya, Black Shark 4 Pro ini telefon 'gaming' yang mampu memberikan ciri 'gaming' yang mencukupi tetapi tidak membawa rekaan yang terlampau 'over'. Tolak tepi soal prestasi, jika anda inginkan sebuah peranti gaming dengan rekaan yang tak keterlaluan, Black Shark 4 Pro boleh dipertimbangkan.

Berkenaan prestasi lebih lanjut saya akan nukilkan pada artikel lain sedikit masa lagi. Adakah ia tawaran peranti gaming berbaloi untuk anda atau sekadar singgah di perairan Malaysia namun tiada siapa yang mahu memancingnya.