Bil Elektrik Anda Tinggi? Ikuti 5 Langkah Ini Untuk Mengurangkannya

Teknologi selalunya berkait rapat dengan penggunaan elektrik. Boleh dikatakan lebih 90% daripada peralatan teknologi memerlukan tenaga elektrik untuk dijalankan. Namun, semakin bertambah alatan teknologi yang kita gunakan, secara logiknya kadar penggunaan elektrik juga akan meningkat.

Sudah pasti, bil elektrik akan semakin tinggi. Oleh sebab itu, kali ini kami akan senaraikan beberapa tips penjimatan bagi membantu anda dalam mengurangkan kadar bil elektrik yang perlu dibayar setiap bulan.

1. Pastikan suis ditutup dan palam dicabutkan

Selesai menonton TV atau menggunakan mesin basuh, sebahagian besar dari kita hanya akan mematikannya sahaja. Ini adalah antara kesilapan yang paling kerap kita lakukan.



Kita perlu matikan suis dan cabut palam daripada soket elektrik. Ini kerana sekiranya kita tidak menutup suis dan mencabut palam, sebenarnya arus elektrik masih lagi berjalan.

2. Gunakan peralatan dengan pelekat cekap tenaga

Semasa membeli peralatan elektrik baharu, pastikan anda menyemak dulu peralatan elektrik mempunyai pelekat merah cekap tenaga seperti di bawah.



Peralatan dengan pelekat di atas adalah diiktiraf oleh pihak Suruhanjaya Tenaga, di mana lebih banyak jumlah bintang diberikatan, lebih cekap tenaga peralatan tersebut.

3. Guna peralatan yang sesuai dengan situasi anda

Memilih peralatan elektrik seperti TV dan penghawa dingin juga perlu dilakukan dengan tepat. Ini kerana lebih besar saiz TV atau kuasa kuda penghawa dingin, lebih banyak tenaga yang akan digunakan.



Oleh itu, sekiranya anda menonton TV dari jarak yang dekat, belilah TV dengan saiz yang lebih kecil. Penghawa dingin di dalam bilik tidur pula sepatutnya lebih rendah kuasa kuda dari yang digunakan di ruang tamu.

4. Dapatkan peralatan dengan teknologi inverter

Teknologi inverter membantu dalam mengawal motor peralatan seperti peti sejuk dan penghawa dingin. Teknologi ini akan memastikan motor elektrik sentiasa bekerja dalam tahap yang optimum.



Walaupun peralatan elektrik dengan inverter ini selalu lebih mahal, namun ia adalah satu pelaburan yang berbaloi dalam memberi penjimatan untuk jangka masa panjang.

5. Kawal penggunaan elektrik

Bagaimana mahu kawalnya? Mudah sahaja, kenal pasti peralatan mana yang menggunakan tenaga elektrik yang tinggi dan hadkan penggunaannya.



Menurut laman SparkEnergy, peralatan dengan purata penggunaan elektrik di rumah paling tinggi dalam sebulan adalah seperti berikut :

  • Penghawa dingin - 1450 kWh

  • Pemanas air - 310 kWh

  • Peti sejuk - 205 kWh

  • Mesin Pengering - 75 kWh

  • Televisyen - 27 kWh

  • Microwave - 16 kWh

  • Mesin basuh - 9 kWh


* kWh - kilowatt hour    *nilai di atas adalah sekadar anggaran

Semoga perkongsian ini dapat membantu serba sedikit dalam menjimatkan bil elektrik rumah anda selepas ini. Seperti biasa, sekiranya anda ada tips yang lain, kongsikan bersama kami di ruangan komen.

Jangan lupa untuk kongsikan juga artikel ini untuk manfaat kita bersama.

 

Sumber: SparkEnergy    TNB

Berkaitan