Beberapa Pengguna CIMB Mengadu Wang Mereka Ditolak Melalui Transaksi PayPal

Perbankan dalam talian CIMB Clicks kini dilaporkan sedang menghadapi masalah sekuriti dimana beberapa pengguna mengadu wang mereka ditolak melalui transaksi PayPal.

Isu ini mula dikongsikan pengguna yang terlibat di Facebook sejak 14 Disember 2018 lalu dan dilihat berlarutan hingga ke hari ini.

Ia mula disedari pengadu setelah mereka menerima SMS yang mengatakan wang daripada akaun CIMB telah ditolak untuk tujuan transaksi PayPal, walaupun ada diantara mereka tidak pernah mempunyai akaun PayPal.

Difahamkan juga, apabila pengguna menambah beberapa aksara selepas kata laluan sebenar, log masuk berjaya dibuat dan ini merisaukan pemilik akaun.

Perkongsian-perkongsian yang sedang rancak berlegar dimedia sosial pula mengaitkan masalah sekuriti ini dengan pengenalan ciri reCaptcha, tetapi pihak CIMB menjelaskan fungsi itu bertujuan untuk keselamatan dimana jika terdapat aktiviti mencurigakan dikesan, pelanggan akan diminta untuk membuat pengesahan reCaptcha.

Buat masa sekarang pihak CIMB masih belum lagi mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung masalah terbabit.

Pengguna dinasihatkan untuk menukar kata laluan CIMB Clicks sementara menunggu isu tersebut diselesaikan.

Baca juga - CIMB Keluarkan Kenyataan Media Lanjutan Daripada Isu Yang Berlaku