Bandaraya Seoul Akan Dipasang Kamera Pintar Yang Mampu Mengesan Jenayah Sebelum Ia Berlaku

Dah macam dalam filem 'Minority Report'.


Kerajaan Korea Selatan dijangkakan akan memasang sebanyak 3,000 buah kamera di sekitar bandaraya Seoul menjelang Julai 2020 nanti.

Pemasangan kamera tersebut dilakukan dengan kerjasama Insitut Penyelidikan Elektronik dan Komunikasi (ERTI) negara tersebut.

Kamera yang akan dipasang itu dilengkapi dengan perisian kecerdasan buatan (AI) bagi tujuan pengawasan keselamatan disesebuah lokasi.

Malah kerajaan Korea Selatan juag mendakwa teknologi AI yang digunakan pada kamera tersebut mampu mengesan aktiviti jenayah sebelum ia berlaku.

Teknologi AI kamera yang dibangunkan itu bukan hanya mampu mengesan lokasi dan masa situasi.

Tetapi turut didakwa mampu menganalisis corak tingkah laku manusia yang lalu lalang di sesebuah kawasan termasuklah gaya perjalanan sama ada berjalan normal atau gaya jalan yang sedang mengekori seseorang.

Bukan itu sahaja, ia juga mampu mengesan pakaian atau aksesori yang sedang dipakai seperti topi, topeng, cermin mata atau apa sahaja objek yang dibawa bersama mereka termasuklah beg atau objek merbahaya yang disyaki berpotensi untuk digunakan bagi aktiviti jenayah.

Kesemua data dari maklumat itu akan diproses bagi mengesan kebarangkalian aktiviti jenayah yang akan berlaku di sesebuah kawasan. Sekaligus akan dapat mengelakkan insiden jenayah sebelum ia berlaku dan meningkatkan keselamatan penduduk.

Dan jika berlakunya aktiviti jenayah di kawasan tersebut, sistem kamera itu akan secara automatik memaklumkan lokasi jenayah pada pihak berkuasa atau balai polis berdekatan.

Ketika ini, teknologi kecerdasan buatan untuk kamera itu masih dalam peringkat pembangunan. Versi siap sepenuhnya teknologi tersebut dijangka hanya akan tiba pada tahun 2022 nanti.

Teknologi kamera Korea Selatan ini mungkin akan menjadi perintis kepada teknologi pengesan jenayah sepertimana yang terdapat di dalam filem 'Minority Report' yang mampu mengesan jenayah sebelum ia berlaku.

Sumber: ZDNet