Axon 9 Pro Dengan Rekaan Takuk Mewarnai Kemunculan Semula ZTE Ke Pasaran

ZTE bersama-sama Huawei telah menjadi mangsa kepada sekatan perdagangan yang dikenakan oleh kerajaan Amerika Syarikat. Namun, selepas membayar denda dan menunaikan syarat yang dikenakan kepada mereka, ZTE telah dibebaskan daripada sekatan berkenaan.



Bagi meraikan kepulangan mereka ke dalam industri, ZTE akan melancarkan peranti bertakuk pertama, Axon 9 Pro yang dijangka akan diperkenalkan semasa acara IFA di Berlin, awal bulan depan. Sehubungan dengan itu, satu imej acah peranti tersebut telah dikeluarkan oleh pihak ZTE.

Sebelum ini, satu imej poster dengan angka 9 gergasi telah dikeluarkan bagi menandakan kehadiran Axon 9 dan menjadi tular di internet. Peranti itu diramal akan dilancarkan pada 30 Ogos ini, lebih awal daripada model Axon 9 Pro.



Terdapat ura-ura yang menyatakan bahawa Axon 9 akan hadir dengan sambungan 5G. Sekiranya laporan itu benar, maka ia akan bergelar peranti pertama dengan teknologi tersebut dan jauh lebih awal berbanding peranti-peranti lain.

Dengan berita ini, IFA 2018 kali ini dijangka akan menjadi satu acara yang sangat menarik untuk diikuti dengan lebih dekat. Bukan sahaja Axon 9 Pro, beberapa pembangun lain juga dikhabarkan akan melancarkan peranti terbaru mereka pada acara tersebut seperti Sony (Xperia XZ3) serta Huawei (Mate 20).

 

Sumber