Australia Guna Kamera AI Untuk Kesan Pemandu Yang Menggunakan Peranti Semasa Memandu

Penggunaan telefon pintar sewaktu memandu kenderaan sudah menjadi masalah sejak sekian lama. Walaupun undang-undang telah dikuatkuasakan, masih ada segelintir daripada kita yang tidak mengendahkan larangan tersebut.

Bagi membendung kejadian tidak diingini daripada berlaku atas kelalaian penggunaan peranti pintar sewaktu memandu, Australia tampil dengan satu penyelesaian. Ia merupakan sebuah sistem kamera dengan keupayaan AI dan telah dikuatkuasakan di New South Wales baru-baru ini.

Sistem tersebut menggunakan AI untuk meneliti sama ada pemandu menggunakan gajet semasa memandu ataupun tidak. Penggunaan sistem kamera AI ini dikatakan yang pertama seumpamanya didunia dan setelah pesalah dikesan, foto tersebut akan dihantar kepada kakitangan peneliti sebelum keputusan selanjutnya dibuat.

Ujian keberkesanan sistem ini sedia dijalankan sejak awal tahun lagi dan menurut Pusat Keselamatan Jalan Raya New South Wales, sejumlah 100,000 pemandu dikesan memandu sambil menggunakan peranti.

Pada peringkat awal pelaksanaan sistem kamera AI ini, pemandu yang didapati bersalah akan diberikan surat amaran.  Namun bermula pada Mac 2020, kesalahan tersebut akan dikenakan saman 344 AUD (~RM 975.70) sehingga 457 AUD (~RM1296.21).

Sumber: Engadget