ASUS Zenfone 7 Dan 7 Pro Dilancarkan - Snapdragon 865+, Tri-Kamera Flip 64MP Dan Bateri 5000mAh

Asus kini melancarkan barisan siri Zenfone terbaru dalam acara yang berlangsung di Taiwan. Dua peranti yang diumumkan dalam acara itu adalah Zenfone 7 dan Zenfone 7 Pro.



Siri Zenfone 7 dilengkapi dengan skrin paparan 6.67 inci AMOLED dengan resolusi Full HD+, nisbah 20:9 serta kadar segar semula 90Hz. Ia turut menyokong 700 nits kecerahan, HDR10+ dan perlindungan Gorilla Glass 6.

spesifikasi Zenfone 7 Pro

Berbanding siri sebelumnya, siri Zenfone 7 pada kali ini hadir dengan tri-kamera flip yang terdiri daripada 64MP utama dengan sensor Sony IMX686, 12MP sudut lebar dan 8MP telefoto dengan 3x optikal zum dan 12x zum digital.

Kamera flip yang dimuatkan pada kedua-dua model ini hadir dengan ciri seperti dwi-LED flash, rakaman video slow-mo 120fps serta rakaman video 8K pada 30fps.

Spesifikasi


Zenfone 7 dikuasakan cip pemproses Snapdragon 865 yang digandingkan dengan varian RAM 6GB dan 8GB LPDDR5 serta 128GB storan UFS 3.1. Sementara, Zenfone 7 Pro hadir dengan janaan cip yang lebih berkuasa Snapdragon 865+ bersama LPDDR5 RAM 8GB. Ia dimuatkan dengan 256GB storan UFS 3.1. Kedua-duanya hadir dengan sokongan slot micro-SD untuk penambahan storan.

Dari segi bateri, ia hadir dengan kapasiti bateri 5000mAh yang menyokong pengecasan pantas 30W HyperCharge, 27W Quick Charge 4.0 serta 18W USB Power Delivery menerusi port pengecasan USB-C.

Antara ciri lain yang ditawarkan termasuk pembesar suara stereo, tri-mikrofon, sensor imbasan cap jari di bahagian sisi, imbasan wajah, sokongan dwi-SIM, 5G, Wi-Fi 6, Bluetooth 5.1, dwi-frekuensi GPS, NFC. Pada kali ini, tiada bicu audio 3.5mm yang disertakan untuk siri Zenfone 7.

Harga




Zenfone 7 dan Zenfone 7 Pro hadir dengan dua pilihan warna iaitu Aurora Black dan White. Harga yang ditawarkan pada Zenfone 7 untuk varian 6GB dan 8GB masing-masing adalah NT$ 21,990 (~RM3121) dan NT$23,990 (~RM3400). Bagi Zenfone 7 Pro, ia ditawarkan pada harga NT$27,990 (~RM3973).

Pelancaran berserta harga bagi pasaran global akan diumumkan pada 1 September nanti.