Apple Mungkin Akan Keluarkan Peranti iPhone Lebih Besar dan Murah

Seperti kita tahu, selama ini pihak Apple Inc. sentiasa mengeluarkan peranti yang berspesifikasi tinggi, reka bentuk yang menarik namun pada harga yang agak mahal. Namun, dua model iPhone yang bersaiz lebih besar dengan harga yang lebih murah mungkin akan dikeluarkan pada masa akan datang. Menurut sumber, perkara ini dilaporkan oleh Ming-Chi Kuo, satu sumber yang boleh dipercayai apabila bercakap soal ura-ura berkenaan produk Apple.



Kuo menyatakan bahawa peranti iPhone tersebut bakal mengguna skrin bersaiz 6.1 inci dan apa yang menariknya ialah salah satu dari peranti tersebut akan menyokong fungsi dua kad sim. Salah satu faktor yang dijangka akan dapat mengurangkan harga peranti ini berbanding model iPhone yang lain ialah peranti ini diberitakan bakal menggunakan skrin paparan LCD, berbeza dengan skrin OLED yang digunakan model sebelum ini.

Selain itu, menurut Kuo lagi, Apple juga akan turut melancarkan model yang akan menyambung legasi iPhone X pada tahun ini. Peranti ini dikatakan akan mempunyai dua pilihan model, 5.8 inci dengan ciri satu kad sim serta peranti 6.5 inci yang akan turut menyokong fungsi dua kad sim. Kedua-dua model ini pula akan menggunakan skrin OLED maka dari segi harganya hampir pasti lebih tinggi daripada model 6.1 inci yang menggunakan skrin LCD.



Harga bagi peranti dengan skrin 6.1 inci Apple ini dijangkakan sekitar $ 550-$650 (~RM 2140 - RM 2530) untuk model satu kad sim dan $650-$750 (~ RM 2530 - RM 2920) untuk dua kad sim. Namun bagi peranti 5.8 inci serta 6.5 inci Apple pula masih belum ada laporan berkenaan ramalan harga bagi kedua-dua peranti tersebut.

Walaupun Kuo adalah sumber yang mempunyai rekod yang baik dalam menyampaikan khabar angin berkenaan produk Apple, ura-ura berkenaan peranti-peranti ini masih lagi menjadi tanda-tanya.

Sumber