Apple Dan Google Disaman Ubisoft Kerana Dituduh Meniru Permainan Video

Berikutan permainan Area F2 yang didakwa meniru permainan Tom Clancy’s Rainbow Six: Siege.


Berdasarkan kepada laporan Bloomberg, firma pembangun permainan video popular, Ubisoft Entertainment dilaporkan telah memfailkan saman terhadap Apple dan Google.

Saman tersebut dibuat kerana Apple dan Google dituduh menawarkan permainan berjudul Area F2 yang didakwa menyerupai permainan milik Ubisoft, Tom Clancy’s Rainbow Six: Siege.

Ubisoft dalam pemfailan saman itu mendakwa, permainan Area F2 yang dibangunkan oleh Qookka Games adalah amat menyerupai permainan milik mereka.

Ubisoft sudah memaklumkan Apple dan Google bahawa mereka telah melanggar hakcipta karya milik syarikat tersebut.

Walaubagaimanapun, Apple dan Google menolak permintaan Ubisoft untuk membuang permainan Area F2 dari ditawarkan dalam Google Play dan Apple App store.

Area F2 yang dibangunkan Qookka Games dimiliki oleh Alibaba Group Holdings Ltd.’s Ejoy.com yang berpangkalan di China.

Mungkin kerana ia melibatkan isu hakcipta antarabangsa, Ubisoft hanya mensasarkan Apple dan Google sahaja buat masa ini dalam pemfailan saman mereka.

Tidak dipastikan sama ada Ubisoft akan turut memfailkan saman yang sama secara berasingan terhadap firma China tersebut.