APEX™, Telefon Pintar Konsep Dari Vivo Yang Menjengah Ke Masa Hadapan

Vivo sebuah pengeluar telefon pintar yang pertama mengeluarkan telefon pintar dengan pengimbas cap jari terbina di dalam skrin telah memperkenalkan APEX™. Ia merupakan sebuah telefon pintar konsep yang menampilkan rekaan futuristik di samping ciri-ciri menarik yang boleh diketengahkan kepada pasaran pengguna.

Vivo dengan teknologi FullView™ telah menolak batas rekaan skrin telefon pintar ke tahap yang lebih berani. Mereka berjaya mendapatkan nisbah skrin paparan dengan badan peranti sebanyak 98%, angka tertinggi yang dicapai oleh mana-mana pembuat telefon pintar.



Jadi di mana letaknya kamera hadapan bersama pembesar suara? Kamera hadapan 8MP akan 'terbit' di bahagian atas setiap kali pengguna mengaktifkan kamera hadapan mereka. Ini membuatkan kamera selfie tersebut tidak menggunakan sebarang ruang di panel hadapan peranti.



Untuk pembesar suara di bahagian atas panel hadapan pula, Vivo menggunakan teknologi SoundCasting yang menukarkan seluruh skrin paparan menjadi pembesar suara. Ini bukan kali pertama teknologi ini wujud kerana Xiaomi juga melakukan perkara yang sama dengan peranti Mi Mix mereka.



Meneruskan kejayaan mereka mengintegrasikan pengimbas cap jari ke dalam skrin paparan, APEX™ memperkenalkan teknologi yang sama tetapi kali ini 50% skrin paparan boleh digunakan sebagai pengimbas cap jari. Separuh skrin paparan ke bawah kini boleh mengesan cap jari pengguna seterusnya menyahkunci sistem keselamatan peranti.