Apa Yang Perlu Anda Tahu Tentang Pelan Unifi 30Mbps RM39

Tempoh hari telah kedengaran tentang pelan 30Mbps serendah RM39 daripada unifi untuk perkhidmatan jalur lebar mereka. Didalam poster turut menawarkan pelan 300Mbps dengan harga RM149 serta 100Mbps pada langganan RM79 sebulan.

unifi

Ia dilihat jauh lebih murah berbanding tawaran sedia ada dengan harga sebenar RM89 (30Mbps), RM129 (100Mbps) dan RM199 (300Mbps). Ia juga tidak didedahkan secara meluas dan secara tidak langsung menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pelanggan.

Informasi awal yang didapati, ia hanyalah terbuka untuk pelanggan baru sahaja. Bagi menjelaskan perkara itu, pihak unifi telah menghubungi kami.

Menurut pengendali rangkaian tersebut, tawaran yang tersebar itu bukanlah pelan baharu. Ia merupakan pelan sedia ada tetapi disesuaikan bagi memudahkan pelanggan jalur lebar dari pengendali lain bertukar kepada unifi.

Untuk lebih difahami, unifi akan menanggung yuran penalti yang harus dibayar oleh pelanggan baru (kepada pengendali lama akibat penamatan kontrak) dengan cara mengurangkan bayaran bulanan.

Setelah mencapai jumlah yuran penalti, pelanggan tersebut akan kembali dikenakan dengan caj bulanan sama iaitu RM89 (contoh pelan 30Mbps) seperti pelanggan-pelanggan yang lain.

Disebabkan itu kita melihat penurunan harga walaupun ia adalah pelan yang sama. Anda boleh menghubungi khidmat pelanggan unifi untuk keterangan lanjut.

Unifi menambah, sekiranya pelanggan tidak dikenakan yuran penalti dari pengendali sebelumnya, mereka akan tetap membayar harga asal. Seperti contoh RM89 untuk pelan 30Mbps.

Selain memudahkan dari segi yuran pembatalan ini, unifi turut menawarkan percubaan selama 30 hari untuk pelanggan baharu mencuba perkhidmatan jalur lebar mereka.