Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Zenfone Max Pro M1 - Peranti Android Asli Dengan Bateri Gergasi

Syarikat telekomunikasi terkemuka, Asus baru sahaja melancarkan produk terbaru mereka iaitu Zenfone Max Pro M1 pada hari yang sama di India dan Indonesia pada 23 April yang lalu. Ramai pemerhati industri ini berpendapat bahawa peranti terbaru Asus ini mempunyai spesifikasi yang hampir serupa dengan peranti keluaran Xiaomi, Redmi Note 5 (Redmi Note 5 Pro di India).

Apa yang menarik tentang keluaran terbaru Asus ini ialah Zenfone Max Pro M1 tidak akan menggunakan sistem operasi ZenUI yang kurang digemari oleh kebanyakkan pengguna Asus Zenfone. Sebaliknya, peranti ini akan menggunakan Android asli Oreo 8.0 yang diharap akan memberikan pengalaman penggunaan yang lebih lancar dan pantas.



Dari segi spesifikasi lain peranti ini, ia boleh dikatakan sama dengan apa yang tertiris di internet seperti yang pernah kami laporkan sebelum ini. Menggunakan cip pemproses Qualcomm Snapdragon 636 yang disokong oleh RAM sehingga 6 GB, pengguna peranti ini sepatutnya tidak mengalami sebarang masalah untuk bermain permainan video pada peranti ini, menurut pihak Asus.

Tambah mereka lagi, kapasiti 5,000 mAh pada peranti akan memberi tempoh bermain lebih lama sehingga 12 jam tanpa henti kepada penggunanya. Peranti ini akan hadir dengan tiga pilihan model iaitu 64 GB+4 GB RAM, 64 GB+6 GB RAM dan 32 GB+3 GB RAM. Bagi pilihan model 4 GB RAM dan 3 GB RAM, mereka akan dilengkapi dengan kamera berkembar 13 MP (f/2.2) + 5 MP bagi kamera utama dan 8 MP (f/2.2) bagi kamera hadapan. Manakala untuk model 6 GB RAM pula, ia akan dibekalkan dengan kamera utama berkembar 16 MP (f/2.0) + 5 MP serta kamera hadapan 16 MP.



Asus Zenfone Max Pro ini dijangka akan menjadi pesaing kepada peranti Xiaomi Redmi Note 5 kerana kedua-dua peranti ini akan menggunakan cip pemproses Qualcomm Snapdragon 636.  Namun, Zenfone Max Pro dilihat mempunyai sedikit kelebihan dari segi kapasiti bateri serta penggunaan Android asli berbanding Redmi Note 5.



Pihak Asus dijangka bakal melancarkan peranti Zenfone Max Pro M1 buat pasaran Malaysia pada bulan Mei ini. Ikuti laman sesawang Asus Malaysia dan Facebook rasmi mereka untuk maklumat lanjut berkenaan peranti ini.

Sumber