Spesifikasi Asus Zenfone Max Pro M1 Didedahkan Menjelang Pelancaran

Asus akan melancarkan peranti kelas pertengahan terbarunya Asus Zenfone Max Pro M1 pada minggu hadapan, namun masih kurang memberikan maklumat berkenaan spesifikasi peranti berkenaan. Akan tetapi spesifikasi bagi peranti tersebut telah pun didedahkan kepada umum dalam satu kiriman berbahasa Indonesia yang tersebar di internet. Peranti ini dijangka akan dilancarkan di pasaran Indonesia dan India pada hari yang sama, iaitu 23 April ini.



Peranti ini bakal menjadi peranti pertama yang dihasilkan selepas kerjasama antara Asus dan Flipkart, sebuah syarikat pasaraya atas talian terbesar di India. Menurut imej yang didedahkan, peranti ini akan menggunakan cip pemproses Qualcomm Snapdragon 636 disokong dengan memori sehingga 6 GB serta ruang simpanan sehingga 64 GB.

Selain itu, apa yang menarik perhatian pada peranti ini ialah kapasiti baterinya yang besar iaitu sehingga 5,000 mAh serta penggunaan Andriod tulen Oreo untuk lebih kepantasan. Terdapat juga laporan mengatakan mungkin akan ada pilihan peranti ini dengan memori 4 GB dan ruang simpanan 32 GB, namun masih belum dapat dipastikan kesahihan laporan tersebut.



Antara ciri Zenfone Max Pro M1 yang dijangka turut dapat menarik minat pengguna telefon pintar ialah dual kamera utama 16 MP serta sokongan tiga slot yang membolehkan pemiliknya menggunakan dua kad sim dan satu kad mikroSD bagi meningkatkan jumlah ruang simpanan.

Harga jualan bagi peranti ini masih belum didedahkan dan begitu juga dengan pilihan warna yang disediakan bagi peranti Asus Zenfone Max Pro M1 ini. Buat masa ini, belum ada maklumat berkenaan sama ada peranti ini akan memasuki pasaran Malaysia atau tidak. Ikuti Facebook rasmi Asus Malaysia untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Sumber