AMD Ryzen Berjaya Menguasai Pasaran Cip Pemprosesan Dari Intel Bagi Pasaran Asia Pasifik

AMD Ryzen 50.5%, Intel 49.5%.


Berdasarkan kepada laporan Danawa Research, jumlah unit cip pemprosesan yang ditawarkan AMD Ryzen telah melebihi jumlah unit cip pemprosesan Intel Core, hanya beberapa hari sahaja selepas cip Ryzen 3000 terbaru dipasarkan.

Menurut data dari salah sebuah syarikat peruncit terbesar di Korea Selatan itu, sejak cip terbaru AMD tersebut menjengah pasaran pada 8 Julai lalu, jualan cip pemprosesan AMD Ryzen telah melonjak sehingga  48.72%, berbanding sehari sebelumnya iaitu hanya 28.24% sahaja.

Malah hanya dalam tempoh 2 hari sahaja, ia telah meningkat kepada 53.36%, sekaligus menewaskan jualan cip Intel yang hanya sekadar 46.64% sahaja.



Tarikan pengguna terhadap cip AMD Ryzen juga didapati jauh meninggalkan Intel di mana AMD Ryzen telah berjaya menarik perhatian pengguna sehingga 76.95%. Manakala Intel pula hanya sekadar 23.05% sahaja.

Selain data daripada Danawa, BCN Ranking dari Jepun yang membuat pemerhatian terhadap pusat-pusat jualan komputer di seluruh Jepun juga mendapati, cip AMD Ryzen telah berjaya mengatasi penguasaan pasaran cip pemprosesan Intel di Jepun iaitu sebanyak 50.5%.

Sementara penguasaan pasaran cip Intel pula adalah sebanyak 49.5%. Trend ini terus menunjukkan penurunan terhadap jualan cip Intel di Jepun di mana pada Oktober 2018 lalu, Intel menguasai sebanyak 72.1%.

Selain Danawa dan BCN, data dari PassMark juga menunjukkan bagi suku pertama 2019 telah menyaksikan lonjakan jualan cip pemprosesan AMD dalam tempoh 5 tahun ini.



Berdasrkan carta di atas, PassMark melaporkan bahawa pasaran cip Intel telah menurun dari 76.90% kepada 70.70%. Manakala pasaran cip AMD telah meningkat dari 23.10% kepada 29.30% dari suku pertama 2018 hingga suku pertama 2019.

Prestasi baik AMD ini bukan hanya berlaku di pasaran Asia sahaja, tetapi juga pengguna di Jerman turut memilih AMD sebagai cip pemprosesan utama bagi komputer mereka.

Sumber: WCCFTECH