Permainan percuma memang sudah menjadi kebiasaan, tidak kira apa platform sekali pun. Namun, bagi menjana wang dengan game percuma, pembangun menawarkan wang digital untuk membeli item yang terdapat di dalamnya.
Rasanya ramai yang ingin mengetahui apakah hukum berkaitan perkara tersebut dari sudut pandangan agama Islam.
Oleh itu, SS Mufti menerusi laman Mufti Wilayah Persekutuan ada menjawab kekeliruan tersebut.
Berdasarkan soalan yang diajukan kepada SS Mufti, beliau bertanya akan hukum menikam loot box atau kadangkala disebut “bakar UC”, “bakar diamond” yang sering dibuat streamer tempatan di FB dalam permainan seperti PUBG, MLBB dan sebagainya.
Jadi, ini adalah jawapan ringkas yang diberikan SS Mufti:
“Hukum melakukan proses tikaman dengan cara membuka peti-peti (crates) menggunakan duit UC yang dibeli dengan wang ringgit adalah haram kerana mempunyai unsur perjudian yang dilarang dalam agama kerana mempunyai elemen zero-sum game; iaitu bergantung kepada nasib (luck) semata-mata. Di samping itu, menafikan hak pembeli untuk membeli apa yang dihajati.”
“Walau bagaimanapun, pengharaman dikhususkan sekiranya pemain membeli UC untuk menikam barang-barang tersebut. Adapun, UC digunakan untuk membeli barang secara terus tanpa berlaku proses tikaman, hukumnya adalah harus seperti pembelian melalui duit Silver dan sebagainya.”
Ini merupakan huraian jawapan tersebut:
“Dalam era globalisasi kini, setiap isu baharu yang muncul perlu difahami gambarannya sebaik mungkin supaya setiap hukum-hakam yang keluar berada di atas landasan yang tepat dan benar bersesuaian dengan prinsip Islam yang menyebut, “Hukum terhadap sesuatu perkara terbina berdasarkan gambaran menyeluruh tentangnya”. Tulisan ini akan memfokuskan jawapan hukum menggunakan duit Unknown Cash (UC) PUBG Mobile untuk tujuan tikaman.”
Secara kesimpulannya, bagi anda yang merupakan seorang gamer tegar, perlulah meninggalkan perbuatan membeli loot box kerana bukan sahaja hukumnya haram tetapi juga telah melakukan pembaziran wang.
Jawapan yang telah diberikan ini bukan hanya untuk permainan PUBG atau MLBB sahaja tetapi turut melibatkan mana-mana permainan yang mempunyai unsur yang sama.
Buat makluman, isu loot box bukanlah sesuatu yang baharu. Terdapat beberapa negara lain juga menentang perkara ini kerana ia mempunyai unsur perjudian.
Bahkan tahun lalu, syarikat pembangun gergasi dunia Electronic Arts (EA) juga berdepan saman daripada kerajaan Belanda kerana isu yang sama – loot box dalam permainan FIFA Ultimate Team.
Apa-apa pun, anda boleh tekan pautan INI untuk membaca lebih lanjut berkaitan jawapan SS Mufti Wilayah Persekutuan.
Sumber: muftiwp
Baca juga: