Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
GTA 6_0003

5 Perkara Tentang “Grand Theft Auto VI” Yang Sudah Diketahui Setakat Ini

Diterbitkan November 6, 2026 · Dikemas kini November 6, 2026 oleh ariff bukhari

Pratonton dalam talian, teaser Netflix berdurasi 26 minit, serta kebocoran maklumat media dan wawancara telah memberikan gambaran awal kepada peminat “Grand Theft Auto” tentang apa yang bakal menanti apabila edisi terbaharu permainan video ini dilancarkan pada 19 November.

Berikut adalah apa yang sudah diketahui mengenai tajuk yang dihebohkan daripada francais Rockstar ini, yang mana walaupun dinamakan “GTA VI”, ia sebenarnya merupakan edisi kelapan dalam siri milik syarikat Take-Two Interactive yang berpangkalan di AS.

Bimbingan ibu bapa amat digalakkan: permainan berciri realistik ini menampilkan penggunaan alkohol dan dadah berserta banyak bahasa kasar dalam bahasa Inggeris dan Sepanyol.

Permainan ini tentang apa?

Sejak dilancarkan pada tahun 1997, “GTA” menyajikan dunia jenayah bawah tanah di mana pemain melaksanakan perompakan dan serangan di dalam bandar-bandar fiksyen Amerika, tetapi ia semakin realistik yang boleh diterokai hampir tanpa had.

Permainan terbaharu ini kekal dengan jalan cerita asas menerusi dua bintang baharu, Jason Duval dan Lucia Caminos, gandingan ala “Bonnie dan Clyde” yang menentang musuh, pemilik kedai dan pihak polis berlatarbelakangkan suasana dramatik yang penuh teka-teki.

Buat julung kalinya sejak edisi pertama, watak wanita menjadi salah satu watak utama dan “GTA VI” menonjolkan hubungan rapat antara kedua-duanya, di mana pemain mempunyai pilihan untuk membawa hubungan tersebut lebih jauh atau sebaliknya.

Terdapat juga barisan watak sampingan yang berwarna-warni, seperti penggodam yang obses dengan teori konspirasi, CEO syarikat multinasional, dan pemilik kelab malam.

Permainan ini turut menyelitkan sindiran tajam terhadap pelbagai aspek kehidupan moden, terutamanya media sosial dan iklan yang melampau.

Di manakah lokasinya? 

Aksi berlatarbelakangkan Vice City, metropolis yang diilhamkan dari Miami yang pertama kali muncul pada tahun 2002, di negeri fiksyen Leonida, gambaran bagi negeri Florida.

Terdapat pelbagai kawasan kejiranan dan pemain boleh berinteraksi dengan pelbagai jenis penduduk, atau mengembara ke luar bandar menuju ke kawasan paya ala Everglades atau pulau-pulau lautan yang kaya dengan hidupan liar tropika.

Adegan merangkumi kelab tarian, kompleks pangsapuri usang, pusat membeli-belah dan bumbung pencakar langit, di mana anda bebas untuk terjun menggunakan payung terjun.

“GTA VI” mempunyai keluasan kawasan permainan dua kali ganda berbanding edisi sebelumnya, dan Rockstar menyatakan ia akan mempunyai 10 kali ganda lebih banyak bangunan yang boleh dimasuki oleh watak permainan.

Apa yang boleh dilakukan oleh pemain?

Hampir apa sahaja yang mereka inginkan. Namun, aksi kejar-mengejar kereta, perompakan, dan tembak-menembak kekal menjadi teras permainan.

Pemain diberikan pelbagai misi daripada pencerobohan, pembunuhan terancang sehinggalah transaksi dadah, sambil bebas bergerak di dalam dunia terbuka.

Namun begitu, terdapat plot jalan cerita, dan jika anda terlalu tersasar seperti merompak kedai emas secara rawak atau menembak kereta yang lalu-lalang, pihak polis akan mula memburu anda.

Ciri realistik permainan ini juga menyaksikan penampilan fizikal watak berubah mengikut pilihan pemakanan mereka.

Malah, kereta kini dilengkapi dengan meter penunjuk bahan api.

Buat masa ini, ia merupakan permainan mod satu pemain (single-player), walaupun ramai peminat menjangkakan edisi pelbagai pemain (multiplayer) secara dalam talian akan dikeluarkan pada tahun hadapan.

Apakah pembaruan lain?

Perincian grafik adalah jauh lebih baik hasil keupayaan konsol generasi baharu yang jauh lebih berkuasa berbanding 13 tahun lalu semasa “GTA V” dilancarkan.

Rockstar menubuhkan studio khas di Los Angeles bagi mencipta animasi dan dialog untuk puluhan watak bukan pemain (non-player characters / NPC), bertujuan memberi identiti realistik kepada setiap satu daripadanya.

Selain lagu-lagu rock klasik dan muzik latar filem aksi, permainan ini turut menampilkan gubahan muzik asal daripada pengeluar muzik elektro Perancis, Justice.

Lagu latar rasmi “GTA VI” akan merangkumi trek daripada artis merentasi penyanyi penyanyi rap AS Travis Scott sehinggalah pemain gitar The Rolling Stones, Keith Richards.

Bila, dan berapakah harganya?

“GTA VI” akan dilancarkan pada 19 November untuk konsol PlayStation 5 dan Xbox, manakala versi PC dirancang pada tarikh yang belum ditetapkan.

Harga asas ialah $79.99 (RM339) bagi Standard Edition manakala Ultimate Edition pula berharga $99.99 (RM419) yang menawarkan pelbagai kandungan bonus seperti kereta dan senjata unik.

Ia boleh dibeli secara dalam talian atau di kedai fizikal, tetapi kotak permainan hanya mengandungi kod muat turun, bukannya kepingan cakera fizikal.

Pra-pesanan telah pun bermula sejak 25 Jun lalu

Take-Two belum memberikan sebarang angka mengenai permintaan setakat ini, tetapi penganalisis menjangkakan ia boleh menjadi pelancaran media hiburan paling menguntungkan dalam sejarah. – AFP

Berkaitan

  • vivo X300 FE VS vivo X300 Ultra: Sama DNA ZEISS, Tapi Ini Bezanya Yang Anda Wajib Tahu Sebelum Beli
  • Ini 10 Telefon Android Dengan Skor Tertinggi Dalam Ranking Global AnTuTu Oktober 2026
  • Percuma GTA VI Apabila Anda Beli Konsol PS5 Dengan Pelan CelcomDigi One

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • POCO X8s Dengan Snapdragon 7 Gen 4 Tiba Di Malaysia, Harga Promosi Bermula RM1,399
  • Graduan Pelatih Hong Leong Bank Bina Chatbot AI Dan Automasi RPA Dalam Program 12 Bulan
  • Percuma GTA VI Apabila Anda Beli Konsol PS5 Dengan Pelan CelcomDigi One
  • ASUS Lancar Zenbook 14, Vivobook S14 Dan S16 Baharu, Harga Bermula RM4,299
  • BIMB Mobile Ada Isu Keserasian Dengan Android 17 - Pengguna Diminta Tangguh Kemas Kini
  • OpenAI Perkenal GPT-6 Cyber - Diklasifikasikan Pada Tahap 'Kritikal' Dalam Keselamatan Siber
  • Pusat Data Baharu Microsoft Di Johor Bakal Guna Sistem Penyejukan Jimat Air
©2026 WISER.MY