3 Model MacBook Dengan Apple Silicon Dijangka Akan Diumumkan Pada 10 November Ini

Awal pagi ini, Apple telah mengumumkan acara “One more thing” yang akan diadakan pada 10 November nanti. Terbaru, Apple dilaporkan bakal melancarkan 3 model MacBook dengan pemproses Apple Silicon pada acara itu.

Antaranya termasuk MacBook Pro 13 inci dan 16 inci, serta MacBook Air 13 inci. Penggunaan cip buatan Apple yang berasaskan ARM ini akan menggantikan cip Intel yang digunakan sejak 2006.

Pemproses Mac dari Apple adalah berdasarkan cip A14 yang terdapat di iPhone dan iPad Air terbaru, dan ujian dalaman Apple menunjukkan peningkatan kecekapan kuasa berbanding cip Intel.

MacBook Apple Silicon

Selain peralihan kepada cip Apple Silicon, kemas kini MacBook baharu ini dijangka tidak akan menampilkan perubahan rekaan yang ketara, di mana Apple akan menggunakan rekaan MacBook yang sama seperti sebelumnya.

Dalam pada itu, khabar angin turut menyatakan Apple sedang membangunkan versi rekaan semula MacBook Pro bersaiz 14.1 dan 16.1 inci dengan paparan mini-LED, namun ia tidak akan tersedia sehingga 2021.

Apple sebelum ini memaklumkan peralihan dari cip Intel ini akan mengambil masa selama dua tahun. Setelah mengemas kini barisan komputer riba, Apple masih mempunyai masa sehingga 2022 untuk mengemas kini komputer desktop termasuk iMac, iMac Pro, Mac Pro dan Mac mini dengan pemprosesnya sendiri.

Sumber: Bloomberg via MacRumors