Tahun ini, genaplah 15 tahun usia bagi model telefon pintar iPhone yang mana Steve Jobs pertama kali mengumumkan “iPhone original” semasa acara Macworld Expo yang diadakan di San Francisco, California pada 9 Januari 2007.
Siapa sangka, telefon pintar tersebut mengubah landskap arena telefon pada masa hadapan seperti mana yang kita lihat sekarang.
iPhone generasi pertama itu dijana cip pemprosesan Samsung, memori hanya 128MB RAM, storan 4GB/8GB (flash memory), skrin TFT berkeluasan 3.5 inci beresolusi 320×480, kamera utama 2MP di mana tiada lensa swafoto, bateri 1400mAh yang tidak boleh dicabut dan menjalankan iOS 1.0.
Mungkin ada generasi baharu akan terkejut dengan spesifikasi sedemikian. Namun, pada zaman tersebut, ia sudah menjadi satu perkara yang menakjubkan sebenarnya.
Mengimbas kembali era itu, tidak ada telefon pintar yang menawarkan skrin penuh. Ini kerana kebanyakan pada ketika itu masih menggunapakai skrin yang kecil dan papan kekunci (keyboard) masih ada.
{suggest}
Bagaimanapun, perubahan yang dibuat Steve Jobs dipandang rendah oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Microsoft – Steve Ballmer.
Ketika Ballmer ditemubual oleh CNBC, beliau memberikan reaksi seolah-olah memperlekehkan Jobs.
“Five hundred dollars?! Fully Subsidised? With a plan? I said that is the most expensive phone in the world!”
Melihat pada reaksinya, Ballmer mengatakan iPhone merupakan telefon yang paling mahal di dunia. Jika mengikut tukaran mata wang sekarang, USD500 adalah sekitar RM2100 dan memang betul, telefon dengan harga sebegitu teramatlah mahal sekiranya dibandingkan dengan peranti lain.
Selain itu, beliau turut menyatakan langkah Apple tidak menawarkan papan kekunci pada telefon merupakan satu langkah yang silap. Bukan itu sahaja, Ballmer sangat yakin bahawa Microsoft paling berjaya dan Apple sepatutnya mengikut mereka.
Katanya lagi, Microsoft mempunyai strategi yang tersendiri dan sudah mahir dalam pasaran telefon. Ia boleh menghantar mesej, mendengar lagu, menghantar e-mel dan hanya dijual pada tanda harga USD99 (~RM415).
Bahkan, sewaktu wartawan bertanyakan apakah langkah Microsoft untuk menyaingi Apple kerana iPhone telah menjadi tumpuan dunia. Akan tetapi Ballmer menegaskan bahawa Microsoft telah berjaya menjual berjuta telefon dan Apple tiada langsung.
Kadangkala kata-kata kita boleh memakan diri. Keangkuhan dan memandang rendah orang lain pun boleh memberikan kesan.
Lihatlah di mana “Microsoft Phone” sekarang? 15 tahun dahulu mereka mengatakan bahawa mereka hebat dalam arena telefon. Sekarang, kanak-kanak pun tidak tahu yang Microsoft pernah ada telefon pintar. Apatah lagi bercakap tentang Windows Phone.
Tambahan lagi, syarikat China seperti Xiaomi, OPPO atau vivo pun sudah meningkat naik dan saling bersaing sesama sendiri.
Sebelum mengakhiri artikel ini, mari kita lihat ayat Steve Jobs semasa memperkenalkan iPhone generasi pertama pada 15 tahun dahulu. Jobs mengatakan Apple membina semula telefon.
“An iPod, a phone, and an internet communicator. An iPod, a phone…are you getting it? These are not three separate devices: This is one device, and we are calling it iPhone. Today, Apple is going to reinvent the phone”