Sudah menjadi kebanggaan untuk negara Malaysia, syarikat Proton Malaysia telah melancarkan kereta pertama mereka iaitu Proton Saga pada 9 Julai 1985, hasil idea daripada Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Kini, kita dapat lihat pelbagai kereta Proton berada di atas jalan raya, tidak kira model lama atau model baharu, ia masih menjadi pilihan rakyat Malaysia. Oleh itu, mari saya kongsikan kepada anda 5 fakta menarik tentang Proton Malaysia.
Proton Persona adalah Proton Wira
Pada tahun 90’an di United Kingdom, mereka menamakan Proton Wira yang dieksport ke sana sebagai Proton Persona. Selepas kerjasama bersama Mitsubishi berakhir, Proton sudah bersedia untuk mengeluarkan kereta identiti mereka sendiri, iaitu bermula dengan Proton Gen 2, dan ia terus berevolusi sehingga Proton Persona. Ia juga dikenali sebagai model WRM (Wira Replacement Model).
Jadi kepada anda yang masih ternanti-nanti bila nak keluar Proton Wira yang baru, sebenarnya dah ada dah pun. Proton Persona adalah Proton Wira.
Proton Iriz R5 Yang Bernilai Hampir RM960,000
Untuk pengetahuan anda, model Iriz adalah salah satu daripada 10 model di seluruh dunia yang layak bertanding dalam perlumbaan FIA World Rally Champion kategori Rally 2.
Bagi melepaskan Iriz R5 untuk bertanding dalam kelas Rally 2, beberapa ubahsuai perlu dilakukan, antaranya seperti:
- Casis yang diubah suai untuk menerapkan terowong transmisi
- Sistem pacuan semua roda
- Sistem bahan api FT3
- Arca roda lebih lebar
- Susunan suspensi belakang ala MacPherson
Harga maksimum bagi Proton Iriz R5 ini adalah 198,840 EUR (RM 960k), termasuk had harga untuk tayar ganti. Kereta ini masih berada dalam status bertanding sehingga 2025. Selain itu, anda juga boleh bermainan permainan video WRC 10, dalam permainan itu anda boleh memandu Proton Iriz R5, ambil feel sikit sebelum nak beli, manalah tahu.
Proton Iswara membuat cameo dalam Mr.Bean
Siapa je tak kenal Mr.Bean? Ia adalah sebahagian besar dalam childhood kita semasa membesar. Jika anda perasan, dalam musim 1 episod 12 yang bertajuk Tee Off, Mr. Bean, ada satu babak di mana Mr. Bean bermain mini golf.
Sedang rancak dia bermain mini golf, boleh pula bola golf itu termasuk betul-betul di dalam lubang ekzos satu kereta ini. Kereta itu adalah Proton Iswara yang dieksport daripada Malaysia. Pertama kali saya tengok babak itu, saya terkejut sekaligus hairan, macam kenal je kereta itu. Masa itu saya ingatkan Mr.Bean ada di Malaysia, terus saya mengajak mak saya untuk keluar mencari Mr.Bean tengah-tengah malam buta, hampir saya ditampar lalu disuruh pergi tidur.
Seorang lelaki Malaysia bernama Proton Saga
Sebagai ibu bapa, haruslah kita menamakan anak-anak kita dengan nama yang baik. Namun, pasangan ibu bapa iaitu Kelambu dan Jamilah daripada Perak, menamakan anak mereka Proton Saga. Ini adalah sempena pelancaran Proton Saga pada 30 tahun yang lalu.
Tidak cukup dengan itu, apabila Proton Saga telah dewasa dan berkahwin, dia menamakan anaknya Viva. Tidak mengapalah, asalkan mereka bahagia, saya pun tumpang bahagia. Ini cerita benar ya, bukan rekaan tau.
Rosyam Nor pemilik Proton Satria Neo R3 pertama
Jika ditanya kepada anak-anak muda apakah kereta idaman mereka, pasti ada yang menamakan Proton Satria Neo. Biasalah, kereta 2 pintu ini kelihatan garang dan sporty, sebab itulah anak-anak muda tergilakan kereta ini.
Pada tahun 2010, Proton mengeluarkan Satria Neo R3 (Lotus Racing). Model ini menerima banyak peningkatan dari segi peralatan dan juga prestasi enjin. Yang meningkatkan lagi ciri eksklusif bagi model ini adalah hanya 25 model sahaja yang dihasilkan. Memang limited edition bro.
Pembeli pertama untuk kereta ini adalah pelakon tersohor Malaysia, Datuk Rosyam Nor. Kereta ini berharga RM115,000 ketika ia diperkenalkan. Melalui video di akaun Youtube Pekin Ibrahim, Datuk Rosyam Nor ingin membuka harga jual balik kereta itu pada RM280,000. Menurutnya, seluruh komponen kereta itu masih 100% original, dengan bacaan odometer hanya 35,175km. Saya memang berhasrat untuk membelinya, namun apakan daya pinjaman PTPTN pun belum habis bayar lagi.
Jadi itulah 5 fakta menarik tentang Proton Malaysia. Sedar tak sedar, sudah banyak model kereta yang telah dikeluarkan oleh Proton yang masih mengekalkan harga yang rendah untuk kesenangan rakyat. Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya amat berbangga dengan kemajuan Proton di seluruh pelusuk dunia. Walaupun power window Proton selalu bermasalah, namun tidak boleh dinafikan aircond Proton memang mantap sepanjang zaman.
Baca juga:
4 Model Ini Boleh Buatkan Hati Anda Terpaut Pada G-Shock
Laptop Sempurna Untuk Para Editor, Asus ProArt Studiobook 16 OLED
Saintis Beri Amaran, Kanibalisme Mungkin Tidak Dapat Dielakkan