Sebelum ini kami ada melaporkan bahawa peranti Android pertama yang menggunakan pengecasan wayarles magnetik adalah ZTE Nubia Z40 Pro Gravity Edition. Xiaomi juga tidak ingin ketinggalan untuk menjadi antara yang terawal menerapkan fungsi ini pada peranti mereka.
Seperti yang kita tahu, pengecasan wayarles menggunakan haba yang tinggi untuk pengecas sesebuah peranti menyebabkan tidak ramai yang ingin menggunakan kemudahan tersebut. Oleh itu, Xiaomi memperkenalkan pengecasan magnetik ultra nipis untuk menangani masalah sedia ada.
Teknologi pengecasan magnetik baharu ini menggunakan komponen pengaruhan (inductance) dan penyerapan magnetik yang lebih kecil, lebih ringan. Ini membolehkan peranti dapat mengecas dengan kelajuan 50W di samping menjimatkan pembaziran tenaga sebanyak 50%.
Seperti MagSafe, pengecasan magnetik Xiaomi ini mempunyai 17 magnet tersusun berbentuk bulat dan kekuatannya dikatakan mampu menampung sehingga 800g atau 4 buah peranti jika dilekatkan.
Kerana mempunyai kemampuan mengecas yang lebih pantas dan lebih sejuk, ia akan menjadi lebih praktikal untuk digunakan jika dibandingkan dengan Apple MagSafe.
Terdapat 2 jenis pengecasan magnetik yang diperkenalkan. Pertama, pengecasan magnetik yang menyokong 30W yang mampu mengecas bateri berkapasiti 5000mAh dalam masa 86 minit.
Kedua pula, menyokong pengecasan magnetik 50W yang mampu mengecas penuh hanya dalam 49 minit dan pengecas ini disertakan kipas untuk memastikan ia ini sentiasa sejuk.
Dengan penghasilan pengecasan magnetik dari Xiaomi dan pengecasan magnetik yang terdapat pada Nubia Z40 Pro Gravity Edition, pastinya pengeluar telefon pintar yang lain juga akan turut mengembangkan teknologi mereka untuk menerapkan fungsi ini pada peranti mereka.
Sumber: Xiaomiui
Baca juga: