Xiaomi Redmi Note 5 - Peranti Mampu Milik Dengan Kamera Kelas Perdana Akhirnya Mendarat di Pasaran Malaysia

Peranti terbaru Xiaomi, Redmi Note 5 atau turut dikenali sebagai Redmi Note 5 Pro di India akhirnya secara rasmi diperkenalkan pada pasaran Malaysia hari ini. Peminat Xiaomi di negara ini terpaksa menunggu sekitar dua bulan untuk peranti ini tiba di sini sejak ia pertama kali diperkenalkan di India pada pertengahan Februari yang lalu. Manakala bagi pasaran Indonesia pula, Redmi Note 5 telah dilancarkan pada 18 April yang lalu.



Peranti ini akan menggunakan cip pemprosesan dari Qualcomm iaitu Snapdragon 636 yang akan memberikan penggunaan yang lancar disamping penggunaan kuasa yang optimum, menurut pihak Xiaomi. Peranti ini juga digelar sebagai peranti Redmi Note terpantas buat masa ini. Dengan berbekalkan bateri sebesar 4,000 mAh, peranti ini dijangka tidak mempunyai masalah untuk bertahan selama 8 jam bermain permainan video dan dua hari dengan penggunaan ringan.



Perkara yang paling menarik perhatian bagi peranti ini adalah pada kameranya. Redmi Note 5 akan menjadi peranti pertama keluaran Xiaomi yang menggunakan kamera utama berkembar. Kamera utama 12MP + 5 MP yang mempunyai saiz piksel yang sama dengan Samsung S9 iaitu 1.4μm serta f/1.9 bukaan aperture menjanjikan kualiti imej yang lebih jelas pada suasana pengcahayaan rendah.



Selain itu, Redmi Note 5 ini juga akan disokong oleh ciri Electronic Image Stabilization (EIS). Ciri istimewa ini akan membolehkan penggunanya menyingkirkan pergerakkan yang tidak diingini dalam rakaman video dan gambar yang diambil. Tambahan pula, kamera swafoto 13MP yang mempunyai fungsi HDR akan membolehkan pengguna merakam imej yang cantik walaupun pada keadaan bercahaya latar dalaman.



Ciri AI Beauty 4.0 yang sebelum ini sering digunakan pada kamera swafoto sahaja kini turut menyokong kamera utama bagi peranti ini. Ciri ini akan membuatkan imej wajah anda akan kelihatan lebih jelas dan cantik, maka tidak salah untuk pihak Xiaomi mengatakan kualiti kamera peranti ini adalah setanding dengan kamera yang dimiliki oleh peranti kelas perdana.

Dalam pada itu, Redmi Note 5 akan didatangkan dengan paparan skrin bersaiz 5.99 inci berdefinisi tinggih penuh ultra(FHD+) serta menggunakan sistem operasi MIUI 9 berlandaskan Android Nougat. Peranti ini turut menyokong fungsi 2 kad sim disamping kad mikroSD yang turut berkongsi slot yang sama. Ini bermakna pengguna boleh memilih untuk menggunakan 2 kad sim atau satu kad sim dan satu kad mikroSD.



Xiaomi Redmi Note 5 akan mula dijual secara rasmi di pasaran Malaysia oleh pengedar sah mereka iaitu Era International Network Sdn Bhd(EIN) pada 5 Mei ini dengan harga jualan disarankan ialah RM 799 bagi model 3GB RAM + 32GB ruang simpanan serta RM 999 untuk model 4GB RAM + 64GB ruang simpanan. Pihak Xiaomi mengesahkan bahawa pilihan model 6GB cuma akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia sekiranya peranti ini mendapat sambutan hangat sahaja.

Untuk makluman, terdapat tiga pilihan warna bagi Redmi Note 5 ini iaitu Hitam, Emas dan Biru. Berikut adalah beberapa imej peranti ini yang sempat kami ambil semasa majlis pelancaran sebentar tadi :









Ikuti laman sesawang Xiaomi Malaysia dan Facebook rasmi mereka untuk perkembangan terkini berkenaan Xiaomi Redmi Note 5 ini.