Xiaomi Mijia Quartz Watch - Jam Pintar Dengan Harga Mampu Milik

Xiaomi yang terkenal dengan peranti telefon pintar mampu milik kini hadir dengan satu lagi produk dengan paras harga yang sama iaitu Mijia Quartz Watch. Ini merupakan sebuah lagi produk jam tangan pintar dibawah jenama mereka selepas Mi Bunny, Amazfit, Xiaoxun dan WeLoop.

Peranti ini akan hadir dengan beberapa fungsi pintar seperti pembilang kalori dan pedometer jika dihubungkan dengan aplikasi yang dibangunkan oleh Xiaomi. Mijia Quartz Watch ini akan mula dijual di pasaran China dengan harga cuma 349 Yuan(~RM 211) sahaja.



Tidak seperti kebanyakan jam pintar yang lain, Mijia Quartz Watch ini akan menggunakan sistem analog dan akan menyelaraskan masa secara automatik serta menyokong fungsi tetapan jam penggera. Semuanya boleh dilakukan dengan menggunakan aplikasi yang sesuai melalui peranti telefon pintar.

Ia boleh dihubungkan dengan sebarang peranti yang menjalankan sistem Android 4.4 ke atas dan iOS 7 ke atas. Walaupun mempunyai fungsi pintar yang agak terhad, ia sudah cukup untuk menarik perhatian pengguna yang sukakan gaya minimalis dan sedikit sentuhan teknologi terkini pada jam yang dipakai.

Jam ini juga mampu bertahan sehingga 30 meter atau 3atm, maka tiada masalah untuk anda menggunakannya sewaktu mencuci tangan atan berjalan di dalam hujan lebat. Namun, pengguna dinasihatkan untuk tidak memakainya sewaktu berenang.



Xiaomi Mijia Quartz Watch akan hadir dengan tiga pilihan warna iaitu hitam, biru dan kelabu namun terdapat kemungkinan warna-warna lain akan turut diperkenalkan kemudian. Peranti ini akan mula dijual di laman Xiaomi Mall, Xiaomi Youpin dan Tmall Xiaomi Flagship Store pada 17 Julai ini.

Sumber