Xiaomi Mi 9 Terima Markah DxOMark Lebih Tinggi Dari iPhone XS Max & Galaxy Note 9

Xiaomi baru sahaja memperkenalkan model kelas perdana 2019 mereka, Mi 9 di China semalam.

Tidak menunggu lama, laman DxOMark telah pun menyenaraikan markah bagi prestasi kamera peranti ini di laman mereka.

Kapsyen: DxOMark


Xiaomi Mi 9 telah menerima markah keseluruhan sebanyak 107 markah, sekaligus mengatasi beberapa telefon kelas premium seperti iPhone XS Max(105), Samsung Galaxy Note 9(103) dan Google Pixel 3(101).
Baca juga: Mi 9 Sudah Rasmi – Membawakan 3 Kamera Dan Sokongan Pengecasan Tanpa Wayar 20W

Malah, 99 markah bagi kualiti video yang diterima Mi 9 adalah yang tertinggi pernah diberikan DxOMark untuk kategori video setakat ini.

Kapsyen: DxOMark


Bagaimanapun, markah tersebut masih belum cukup bagus untuk mengambil alih kedudukan dua peranti Huawei iaitu Mate 20 Pro dan P20 Pro. Kedua-duanya mempunyai markah sebanyak 109 markah.

Model keluaran terbaru Xiaomi ini hadir dengan tetapan kamera utama tri-lensa 48MP f/1.75 Sony IMX586 + 12MP f/2.2 + 16MP f/2.2.

Bagi kamera swafoto pula, ia disokong oleh lensa tunggal 20MP. Akan tetapi, kualiti kamera berkenaan masih lagi belum diuji setakat ini.

Xiaomi Mi 9 akan diperkenalkan sekali lagi di acara MWC 2019 pada 24 Februari ini bagi peringkat global dan ia dijangka akan mendapat sambutan hangat, sama seperti model Mi 8 terdahulu.

 

Sumber: DxOMark