Xiaomi Mi 8 Youth Muncul Dalam Satu Video Acah Menjelang Pelancaran

Xiaomi adalah syarikat pembangun yang terkenal dengan menawarkan peranti mampu milik dengan spesifikasi memberangsangkan. Pada tahun ini sahaja, beberapa model dengan ciri premium telah diperkenalkan oleh mereka dan Mi 8 merupakan salah satu daripadanya.

Baru-baru ini, Xiaomi mengumumkan bahawa mereka akan memperkenalkan satu lagi edisi di bawah siri Mi 8 selepas Mi 8 SE dan Mi 8 Explorer, iaitu Mi 8 Youth(atau 8X) pada 19 September ini. Satu video acah memaparkan peranti itu telah pun dimuat-naik ke laman Weibo, namun hasil carian kami mendapati video tersebut telah dibawa keluar.


Imej Variasi Fantasy Blue & Twillight Gold (Kredit : Gizmochina)


Bagaimanapun, laman Gizmochina telah pun mendedahkan imej acah bagi peranti tersebut. Dari imej yang didedahkan, dapat diperharikan bahawa Mi 8 Youth akan menggunakan dwi-kamera utama, pengimbas cap jari dan mempunyai rekaan takuk.

Menurut spesifikasi yang telah ditiriskan secara tidak rasmi, peranti ini akan dikuasakan dengan sistem cip Snapdragon 710, memori 6GB RAM beserta dengan 64GB simpanan dalaman. Dari segi bateri pula, ia dikatakan akan dijana dengan bateri berkapasiti 3350mAh.

Setakat ini, masih belum dapat dipastikan samada model ini hanya akan tersedia buat pasaran China sahaja atau turut akan dijual diperingkat global. Untuk itu, kita perlu nantikan pengumuman Xiaomi mengenainya kelak.

 

Sumber