Xiaomi Mi 6S - Peranti Pertama Xiaomi Dengan Android Pie Muncul Secara Tiba-Tiba Di Laman Geekbench

Xiaomi telah melancarkan peranti perdana Mi 6 pada April tahun lepas. Dengan secara tiba-tiba, variasi baru model tersebut, Mi 6S telah muncul di penyenaraian penanda aras Geekbench, baru-baru ini.

Kapsyen: Kredit : Geekbench


Peranti ini dikatakan mempunyai spesifikasi dalaman yang sama dengan model Mi 6, termasuklah penggunaan cip kelas atasan tahun lalu, Qualcomm Snapdragon 835. Walaupun cip tersebut boleh dikatakan telah ketinggalan, ia masih lagi lebih baik berbanding mana-mana cip Snapdragon yang ada pada hari ini, kecuali Snapdragon 845.

Menariknya, Xiaomi Mi 6S ini dilaporkan akan menggunakan sistem operasi Android 9 Pie. Ia sekaligus memungkinkan model ini untuk muncul sebagai peranti Xiaomi pertama yang hadir dengan OS terkini itu dari dalam kotak.

Kapsyen: Kredit : Weibo


Xiaomi sebelum ini dikatakan akan melancarkan model Mi Mix 3 pada 15 Oktober(semalam). Namun, sehingga artikel ini ditulis, tiada sebarang pengumuman mengenai peranti tersebut. Sehubungan dengan itu, lebih banyak berita mengenainya mungkin akan dapat didengari menjelang penghujung hari ini.

Mungkinkah peranti Mi 6S dan Mi Mix 3 akan dilancarkan bersama nanti? Jika ya, ia pastikan akan menimbulkan keterujaan dan dilema kepada peminat Xiaomi yang bercadang untuk mendapatkan peranti baru.

Teruskan bersama kami untuk perkembangan lanjut atau anda boleh ikuti laman Facebook dan Twitter rasmi Xiaomi Malaysia.

 

Sumber : Firstpost